‘Malaysia istimewa’ – Kotak, Ello sedia gegar Sabah 14 Jun depan

SUDAH tujuh tahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, namun memori tentang sambutan peminat negara ini masih segar dalam ingatan setiap anggota kumpulan rock Indonesia, Kotak.

Di mata peminat juga, tenaga jeritan vokal Tantri, petikan gitar Cella dan bass Chua yang masih terngiang-ngiang di telinga.

Tahun ini, kumpulan yang meledak dengan lagu Energi, Beraksi dan Pelan-Pelan Saja itu akhirnya bakal mengubat rindu peminat Malaysia menerusi Konsert 2 Dekade: Kotak X Ello – Live in Malaysia di ITCC Penampang, Sabah pada 14 Jun depan.

Lebih manis, konsert simbolik ulang tahun ke-20 mereka dalam dunia muzik tersebut sekali gus menjadi hadiah istimewa buat peminat yang setia berdiri di sisi sejak dua dekad lalu.

Malaysia istimewa buat Kotak. Kali terakhir kami ke sini, ada peminat datang peluk sambil menangis.

“Selepas pandemik, banyak soalan diajukan bila kami mahu datang (Malaysia) lagi. Alhamdulillah, akhirnya kami berjodohan semula,” ujar Tantri penuh emosi menerusi sesi temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.

TIDAK lagi bernaung bawah mana-mana label, Kotak bersyukur kehadiran mereka dalam dunia muzik masih lagi relevan.

Lebih menggembirakan, Kotak turut membuka peluang buat bakat tempatan dari Sabah untuk tampil berkolaborasi bersama mereka di pentas.

Niat suci itu bukan gimik tetapi cerminan semangat setiakawan muzik merentasi sempadan.

“Kalau boleh kami mahu berkongsi pentas dengan penyanyi Sabah.

Mungkin mereka nyanyi lagu Kotak atau kami nyanyi lagu mereka. Biar malam itu jadi kenangan untuk semua,” ujarnya kepada HibGlam.

Kotak juga menjanjikan persembahan luar biasa , bukan sekadar main hentam rock tetapi dipakejkan dengan elemen visual, susunan muzik segar dan emosi mendalam untuk menyentuh jiwa penonton.

Kami bawa ‘treatment’ yang tak pernah ditampilkan di Indonesia. Kami gabungkan lagu lama dan baharu, tetapi dengan sentuhan visual dan emosi lebih kuat.

“Ini bukan hanya persembahan, tetapi pengalaman rohani buat yang hadir,” tutur Kotak yang kali terakhir mengadaka konsert di Malaysia pada 2018.

Sejak itu, mereka tidak pernah berhenti berharap untuk kembali meski arus muzik berubah dan pendatang baharu tumbuh bak cendawan.

Bagi Kotak, relevan bukan bergantung kepada populariti semata-mata, tetapi keikhlasan berkarya dan keberanian menyesuaikan diri dalam dunia digital.

Dahulu kami bergerak bawah label. Kini kami berdikari. Media sosial adalah jambatan kami dengan peminat, tetapi konsert tetap keutamaan.

“Di pentas itu, kami kenalkan karya baharu. Kami mahu peminat rasa dan hidup bersama lagu-lagu Kotak,” kata mereka.

Selain Kotak, pentas gah malam itu juga bakal menyaksikan vokalis Dewa 19, Ello bergabung memeriahkan suasana.

Ello yang turut meraikan ulang tahun ke-20 dalam industri dijangka bergabung tenaga dengan Kotak untuk persembahan eksklusif belum pernah dipersembahkan di mana-mana pentas lain.

Dengan semangat membara, aura yang masih berbisa dan cinta tidak berbelah bahagi terhadap peminat Malaysia, Kotak kembali untuk menggoncang bumi Sabah. Maka bersedialah, kerana energi mereka tidak pernah mati. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok