NAMA si tampan Alvin Chong bukanlah asing dalam medan seni tanah air. Meskipun graf kariernya tidak lagi menggebu-gebu seperti saat awal kemunculan, namun dia kekal punya kelompok peminat tersendiri yang setia mendakap bakat dan pesonanya.
Demi terus relevan dalam dunia hiburan yang saban hari berubah corak, anak kelahiran Pulau Pinang itu melakukan anjakan berani menjenamakan semula identiti seninya dan kini dikenali dengan nama baharu, Alvn.
Langkah itu bukan sekadar ‘rebranding’ kosong, sebaliknya menjadi simbol kepada aspirasi lebih besar untuk menembusi pasaran global serta membuka ruang kolaborasi merentas sempadan.
Meski kemilaunya tidak seperti bintang lain, Alvn tidak pernah ghairah mencipta sensasi murahan hanya untuk kekal dipandang. Jauh sekali mendamba perhatian dengan kontroversi rekaan, dia selesa melangkah tenang, bersuara dengan hati tenang dan membiarkan karya berbicara mewakili dirinya.
Lelaki berdarah Tionghua itu bahkan amat berhati-hati berbicara soal cinta. Perihal hati disimpan kemas, seolah-olah tiada ruang disingkap orang luar.

TIDAK suka masalah, selain malas hal peribadi diambil tahu orang luar, Alvn lebih selesa menyimpan kemas cerita dalam kainnya. – Solekan & Penata Gaya ELMANDA ZUHAIRY
Lantas, tidak hairan andai akhirnya pemilik nama sebenarnya Alvin Chong Chean Wah itu mulai meyakini bahawa dirinya mungkin lebih sesuai hidup sendiri tanpa terikat ikatan yang entah apa jaminan kebahagiaannya.
Ramai kawan saya yang sudah cerai cakap, tak payahlah kahwin. Mereka tahu saya suka travel, tahu gaji saya berapa, tahu saya tak nak anak.
“Dengan ekonomi sekarang pun, nak tanggung anak mahal. Jadi saya dah mula terima hakikat, mungkin saya akan single sampai bila-bila,” tuturnya.
Paling penting kata pelantun Sama Sama Kita itu, andai suatu hari dia bertemu cinta pun, tidak semestinya hubungan itu akan dipertontonkan kepada umum.
“Kalau saya ada pasangan pun, saya takkan umumkan. Kalau jadi apa-apa, saya kena jawab dengan semua orang. Netizen pun suka cari salah dan akan mula sesi tuding jari antara satu sama lain.
“Bayangkan, kita sudahlah sedih, lagi orang tanya-tanya. Saya tak sanggup,” luahnya.
Suka menyendiri

FOKUS kepada diri sendiri, Alvn kini lebih gemar duduk di rumah berbanding keluar bersosial atau membazirkan masa kepada perkara tidak berfaedah. – Busana @supersundaystore_official @svgwrldwide ya
Pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu mengakui lebih tenang menyendiri, malah sejak pandemik, dia semakin tertutup dan lebih selesa berkurung di rumah.
Saya semakin introvert. Bangun pukul 5 pagi tidur pukul 11 malam, apabila dah gelap, saya tak nak keluar rumah kalau bukan kerja. Lepas pukul 9 malam, semua notifikasi telefon saya tutup. Rasa macam dah ‘pencen’.
“Jujurnya sekarang saya tenang. Dahulu susah nak tidur sebab asyik tengok TikTok. Sekarang pukul 5 atau 6 pagi saya dah bangun,” dedahnya.
Penulis cuba membongkar mengapa sebenarnya mendukung transisi lelaki tinggi lampai, rupa-rupanya dia pernah memaksa diri menjadi ‘sosial’ hanya kerana mahu diterima masyarakat.
“Dahulu saya paksa diri menjadi peramah. Sebab saya nak semua orang suka saya. Tapi lama-lama saya rasa geli tengok diri sendiri.
Saya jadi orang yang bukan diri saya. Social butterfly konon. Tapi sekarang, saya selesa jadi lowkey. Jumpa orang pun saya pilih-pilih.
“Bukan sebab mereka buat salah, tapi sebab mereka suka bergosip dan saya tidak suka itu,” jelasnya.

MAHU menjalani gaya hidup lebih baik dan sihat, Alvn mengakui sudah berhenti minum alkohol.
Dalam meniti fasa kehidupan yang lebih damai, Alvn juga mengakui kini bebas daripada tabiat minum alkohol sejak Februari tahun lalu.
Saya dah berhenti minum. Sebenarnya saya dari dahulu pun tak suka. Tapi sebab nak orang terima saya, saya ikut-ikut juga.Tapi bila dah besar ni, saya mula fikir semula. Adakah benda ni buat saya bahagia?” tutupnya.
Bercakap mengenai karier seni, Alvin baru sahaja selesai drama pendek berjudul Tiada Seperti Leyla bergandingan bersama Rita Nadira menerusi platform penstriman Viu.
Tiada Seperti Leyla mengisahkan Leyla (Rita) yang kerap dibuang kerja kerana kerana sikap ganasnya dan bertemu Daniel (Alvn) yang merupakan musuh sejak zaman persekolahan.
Dalam perkembangan lain, Alvin kini sedang mempersiapkan diri secara mental dan fizikal sebelum masuk ke set penggambaran untuk naskhah seterusnya. – HIBGLAM