MEMAHAMI situasi golongan homoseksual, pelakon Nazrief Nazri berharap masyarakat dapat membantu kelompok terbabit untuk kembali kepada fitrah asal tanpa perlu menghakimi.
Dalam masa sama, Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 34, yang membawakan karakter homoseksual menerusi drama Seribu Tahun menerima ucapan terima kasih dalam media sosial kerana membuka mata ramai tentang keadaan sebenar seseorang melawan nafsu songsang.
“Golongan ini berjuang, jadi kitalah yang kena bawa mereka dekatkan diri kepada Tuhan.
Nafsu songsang adalah ujian dan kita sebagai manusia jangan terlalu mudah menghakimi.
“Ada juga saya terima mesej dalam Instagram daripada individu tidak dikenali mengucapkan terima kasih kerana drama ini seolah-olah menceritakan perjuangan dilaluinya ,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi mengenai Seribu Tahun, Nazrief mengakui agak janggal melakonkan babak mahu bercumbu dengan pelakon baharu, Zarif Ghazzi.
Malah, dia turut memaklumkan tidak diganggu golongan lelaki dalam media sosial disebabkan memegang watak Dr. Zahar.
“Dalam skrip Seribu Tahun bukan ada adegan melampaui batas, cuma sekadar kopek udang dan cubit pipi.
Cuma ada satu adegan konon mahu bercium itu ada rasa tak selesa tapi saya profesional mahu semua kerja selesai.
“Tiada lelaki yang ganggu kerana saya ada sejarah pernah tularkan dan maki sesiapa hantar mesej tidak senonoh. Lagipun, orang tahu saya ada isteri,” ujarnya.
Selain itu, pesera Hero Remaja 2011/12 itu menegaskan karakter lakonannya menyelitkan pengajaran terutama pada minggu akhir bermula malam ini.
“Saya nak tekankan Doktor Zahar bukan mahu promosi gaya hidup homoseksual tapi mahu menunjukkan kepada masyarakat mereka juga bergelut. Dari awal sampai akhir penonton drama ini boleh lihat perjuangan Zahar, dia bukan seronok jadi begitu.
Minggu akhir ini penonton akan tengok setiap hari dia berdoa untuk berubah sebab selepas 13 tahun kahwin pun dia tak mampu menyantuni isteri sebagaimana seorang suami patut lakukan.
“Sebab itu adegan dia nampak Fakhrul ada tiga anak, dia cemburu dan mahukan perkara itu juga. Dia tulis surat kepada Tuhan, babak itu sangat sedih,” jelasnya.
Seribu Tahun minggu akhir akan bersiaran pada malam ini dan malam esok pada pukul 9 malam di Astro Ria.
Selain Nazrief, drama arahan Shahrul Ezad Mohameddin diterajui bintang popular seperti Noorkhiriah, Azhan Rani, Emma Maembong dan Laila Nasir. – HIBGLAM