‘Jangan buat-buat tahu, anda tidak berada di tempat saya’

Penyanyi Mas Idayu mendedahkan keputusan bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Sufian Che Isa bukan dibuat mengikut perasaan, sebaliknya dipertimbangkan secara rasional.

Mas Idayu atau nama sebenarnya Mas Idayu Mesnun, 53, berkata, dia juga melakukan solat istikharah selain mendapatkan nasihat daripada mereka yang arif hukum hakam agama.

“Selama dua tahun saya bertahan bahkan sangat sayangkan perkahwinan ini, saya rujuk dahulu dengan kadi yang nikahkan kami, ustaz serta mutawif sebelum meneruskan hasrat memfailkan permohonan cerai.

“Memang saya yang mahukan perpisahan dan saya layak (minta cerai), bukan dilakukan suka-suka. Ada sebab kukuh, cuma biarlah segala-galanya saya simpan sendiri.

“Selain bertemu mereka yang arif agama, sejak bulan Rejab tahun lepas lagi saya solat istikharah setiap malam untuk minta petunjuk,” katanya selepas pelancaran lagu duet bersama Farez Adnan, Air Titik Ke Batu, hari ini.

Diminta mengimbas detik perceraian, penyanyi dangdut popular itu mendedahkan dia sendiri memfailkan permohonan penceraian tanpa pengetahuan bekas suaminya sekitar awal tahun ini.

Begitupun, Mas Idayu memaklumkan kepada Muhammad Sufian beberapa hari sebelum hadir ke mahkamah bagi memudahkan urusan penceraian mereka.

“Saya tuntut cerai memang tak sorok-sorok tapi tak cerita dengan orang luar. Alhamdulillah Allah membantu dengan melindungi aib penceraian saya,” ujarnya.

Lega semuanya berakhir, dia mengakui sudah menemui kebahagiaan sendiri selepas perpisahan namun perasaan ralat masih menguasai diri apabila mengecewakan peminat yang menyokong perkahwinannya.

“Saya sebenarnya tak sedih bercerai, cuma ralat serta kasihan mereka yang menaja majlis kami.

“Sekarang saya sedang melalui fasa gembira dan berharap pihak di sana pun begitu,” ujarnya.

Menaruh harapan agar orang ramai tidak memanipulasi kisah rumah tangganya kerana mereka tidak berada dalam situasinya.

“Saya tahu ramai marahkan saya. Jangan manipulasi cerita atau ‘play victim’ dan kalau tak tahu cerita sebenar jangan buat-buat tahu. Anda tiada dalam kasut saya,” katanya..

Sebelum itu, Sufian yang juga Penerbit Eksekutif di sebuah stesen televisyen mengesahkan sudah berpisah dengan Mas Idayu pada 4 Mac lalu.

Pasangan terbabit berkahwin pada September 2022 selepas berkenalan di program Mentor musim ketiga dan semakin akrab pada 2021.

Sebelum itu, Sufian pernah berkahwin dengan personaliti televisyen, Intan Suraya dan dikurniakan dua cahaya mata namun bercerai.

Mas Idayu juga pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Aman Graseka pada 1997 namun berpisah dua tahun kemudian.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok