‘Hadiah terindah, selamat datang wahai anakku Ali Ashraf’

AHLI keluarga bertambah, pelakon Ashraf Muslim bersyukur dikurniakan rezeki menimang cahaya mata kelima pada 10 Mei lalu.

Katanya, bayi lelaki yang dilahirkan pada pukul 2.57 pagi itu dinamakan Ali Ashraf Bin Mohd. Ashraf.

“Assalamualaikum semua. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT. Keluarga Ashraf Muslim makin bertambah ahlinya.

“Selamat datang ke dunia, wahai anakku Ali Ashraf Bin Mohd. Ashraf Lahirnya pada10 Mei 2025, pukul 2.57 pagi,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Ashraf yang memuat naik berita gembira itu menerusi kapsyen ringkas turut memaparkan gambar bersama si kecil.

Begitupun, pelakon terbabit tidak menyatakan sama ada bayi berkenaan dilahirkan isteri pertama, Noor Dayana Lokman atau isteri keduanya, Wan Sakinah Wan Saburi.

Menurut Ashraf lagi, kehadiran zuriat kelimanya itu memberikan sejuta makna dalam hidup mereka sekeluarga, selain turut meninggalkan tanda pagar #HadiahTerindah.

Dalam perkongsian sama, pelakon drama bersiri Seribu Tahun itu turut mendoakan puteranya itu membesar sebagai anak soleh dan penyejuk hati.

“Hadirnya membawa sejuta syukur, selaut harapan. Wahai Ali, semoga anakanda membesar menjadi anak soleh, penyejuk mata dan hati bagi kami sekeluarga serta membesar dengan iman, akhlak yg terpuji dan keberanian.

“Terima kasih Allah atas segala-galanya. #AliAshraf #HadiahTerindah #terimakasihAllah #amanahAllah,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Ashraf mendirikan rumah tangga bersama Dayana pada 2011 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Anas Ashraf, 9, selepas empat tahun berkahwin.

Kemudian, pelakon itu bernikah dengan Sakinah pada 7 Julai 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 10, Adam Ashraf, 9, dan Safiyyah Ashraf, 5. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok