PELAKON Linda Hashim berharap agar perubahan suaminya, Beego yang dilihat menyertai kumpulan tabligh bukan sekadar lakonan semata-mata.
Linda atau nama lengkapnya Norhazlinda Hashim, 41, secara terbuka mengingatkan suaminya itu tentang tanggungjawab termasuk dalam urusan memberi nafkah kepada anak-anak mereka.
Tabligh itu dah betul dah, takut dia yang tidak betul. Harap-harap istiqamah, jangan wayang sahaja.
“Nafkah anak-anak, tanggungjawab pada anak-anak mana belum selesai lagi?” katanya menerusi hantaran InstaStory.
Sebelum ini, Beego atau nama penuhnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, memuat naik video berada di jeti Pulau Perhentian, Terengganu bersama jemaah tabligh sambil dadanya dipegang seorang ustaz yang membaca doa.
Momen tersebut meraih perhatian ramai yang rata-ratanya tersentuh melihat riak wajah pelakon itu yang kelihatan sugul dan sebak.
Terdahulu, mahkamah menetapkan tarikh 30 Jun depan bagi pembentangan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Linda memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, awal Januari lalu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Pada Mei 2023 pasangan terbabit hadir ke mahkamah sama bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023.
Aktres itu turut mendedahkan dia dan Beego pernah bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan mereka kembali rujuk iaitu pada April 2023.
Namun dia mengakui tidak mendedahkan perceraian kedua kepada umum kerana bimbang dianggap mempermainkan perkahwinan.
Terdahulu, mereka mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata, Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. – HIBGLAM