PENGACARA dan pelakon Hawa Rizwana mengakui jadual kerja yang padat antara faktor masih belum bertemu jodoh.
Akui Hawa atau nama sebenarnya Hawa atau Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 30, perkara tersebut juga boleh menjejaskan hubungan yang baru hendak berputik terutama dalam aspek komunikasi.
“Mungkin saya masih belum bertemu teman hidup disebabkan kesibukan kerja sehingga membuatkan sesebuah hubungan itu tak boleh diteruskan.
“Saya pula jenis tak reti nak balas mesej cepat, kalau kerja memang fokus.
“Kemudian balik kerja, penat terus tidur. Faktor kekangan masa juga salah satu penghalang dan sukar beri komitmen buat masa ini,” katanya kepada HibGlam selepas Konsert MeleTOP TVS baru-baru ini.
Dalam masa sama, dia mempertahankan diri daripada stigma ramai yang berpendapat dirinya sukar didekati kerana memiliki karakter garang.
“Sebenarnya saya tak pernah terfikir apa pun mengenai hal kahwin.
Namun, kebelakangan ini ada orang cakap kemungkinan saya masih solo sebab orang takut nak berkenalan. Buat apa nak takut, saya tak garang pun,” katanya lagi.
Ditanya tentang kriteria jejaka idaman, pengacara MeleTOP itu hanya berharap dipertemukan dengan pasangan yang dapat menerima dirinya dan bonus jika ada minat sama.
“Saya wanita aktif bersukan, jadi memang suka kalau dapat kenal lelaki yang sama-sama minat berlari, menyelam, mendaki dan berbasikal.
Wajah yang comel juga bonus dan boleh terima kekurangan masing-masing.
“Buat masa ini, saya tiada sasaran umur untuk tamatkan zaman bujang, ‘just go with the flow'” jelasnya.
Sebelum ini, Hawa pernah digosipkan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi rap, Noki K-Clique namun kedua-duanya menafikan hal tersebut namun mengakui selesa berkawan. – HIBGLAM