‘Ya kulit saya gelap, tidak pernah malu’

DALAM dunia hiburan yang memuja kesempurnaan paras rupa dan warna kulit seputih salju, Haneesya Hanee bangga memiliki kecantikan asli gadis Melayu. Langkah awalnya dalam industri tidak ditabur bunga.

Jejaknya pernah hampir terhenti dek badai kontroversi video kelab malam yang menyaksikan tiara Dewi Remaja 2018/2019 itu digugurkan sebelum sempat bersinar terang.

Akibatnya, pemilik nama lengkap Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan itu tenggelam dalam lautan cemuhan. Tawaran kerja sepi, keyakinan khalayak terhadapn diriya juga merudum.

Namun, Haneesya memilih untuk tidak tunduk, perlahan-lahan dia bangkit mencari kekuatan. Berkat sabar, wajahnya kembali mewarnai layar drama dan menjadi bualan positif peminat.

Namun, dalam setiap atur langkahnya, ada luka lama yang masih berdarah apabila kulit gelapnya sering diperlekehkan.

“Sejak mula menyertai Dewi Remaja hingga hari ini, warna kulit tetap jadi bahan bualan.

Saya tak tahu apa salah saya dan mahu hentikan mulut orang daripada bercakap. Setiap kali mereka cari alasan untuk hina saya, mesti naikkan isu kulit gelap. Sedangkan mereka boleh sentuh soal lain, tentang peribadi atau kisah hidup saya.

“Tapi tidak, kulit juga yang dijadikan bahan. Ya, kulit saya gelap, nak apa lagi? Saya tidak pernah malu dengan itu,” katanya kepada HibGlam.

Namun apa yang lebih mengusik hati kata gadis berusia 25 tahun itu, rupa paras si penghina bukanlah sempurna seperti yang disangka malah ada antara mereka memiliki anak-anak yang rona kulit sama sepertinya

“Saya pernah intai profil mereka yang hina saya. Ada anak mereka masih bersekolah, berkulit sawo matang macam saya.

Tak kasihan ke dengan anak-anak sendiri? Esok lusa kalau anak-anak mereka dihina sebab warna kulit, apa rasa mereka nanti?, ujarnya.

Lebih perit, kemarahan netizen terhadap watak Dahlia lakonannya dalam drama Dia Imamku turut dilampiaskan dalam setiap hantarannya yang langsung tiada kena mengena dengan naskhah terbabit.

Bukan dirinya sahaja malah ahli keluarga turut terpalit kata nista netizen yang membencinya.

“Ada juga yang benci saya sebab watak Dahlia. Ketika raya saya rakam momen bersama keluarga termasuk ibu saudara. Saya tengok ramai netizen tidak tahu bezakan antara realiti dan drama.

Mereka hina keluarga saya ‘kampung’ dan macam-macam lagi. Tak bolehkah mereka hormati keluarga saya? Dahlia hanya watak lakonan, jangan kaitkan dengan keluarga saya yang tak bersalah.

“Lainlah jika saya muat naik hantaran mengenai Dahlia. Jika kena mengena dengan Dahlia, nak kutuk, kutuklah. Tapi biarlah keluarga saya dijauhkan daripada kecaman yang mereka tidak layak terima,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok