MIRI – Dua dekad penuh bermakna, penyanyi Dayang Nurfaizah melakar sejarah sendiri apabila menerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP pada Konsert MeleTOP TVS yang berlangsung di Stadium Tertutup Bandaraya Miri, di sini, hari ini.
Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, bersyukur dengan penganugerahan tersebut selain berterima kasih kepada semua pihak yang selalu menyokong kerjayanya.
“Saya berterima kasih dan amat dihargai atas sokongan selama ini.
“Saya bersyukur dan harap daripada anda semua tidak akan berhenti.
“Selagi anda menyokong, selagi itu saya akan terus menyannyi,” katanya selepas menerima anugerah tersebut.
Difahamkan, anugerah tersebut diberikan bagi menghargai perjalanan seni dan pencapaian pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu selama 20 tahun.
Mengangkat warisan kebudayaan Borneo sebagai tema, Konsert MeleTOP TVS menggabungkan kebudayaan tradisional tempatan dan juga budaya pop masa kini.
Konsert kerjasama Astro dan TV Sarawak (TVS) itu turut diserikan dengan persembahan artis hebat seperti Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA dan Sada Borneo.
Acara yang julung kali diadakan itu diacarakan oleh gandingan pengacara MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana dan juga pengacara TVS, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh. – HIBGLAM