‘Naim Daniel lelaki paling rapat, kenal saya luar dalam’

ISU jodoh agak sensitif bagi segelintir individu, namun buat penyanyi, komposer juga pengacara Sissy Imann, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang tabu.

Sebagai wanita matang yang kini berusia 29 tahun, sudah tentu jauh di sudut hati dirinya juga ingin mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat sendiri.

Apatah lagi ibu bapanya juga kerap memberi bayangan teringin menimang cucu selain sesekali mengusiknya untuk diperkenalkan kepada seseorang.

“Seiring waktu saya juga semakin matang. Takkan sentap kalau diasak soal jodoh sebaliknya anggap itu juga umpama doa orang ingin lihat kita hidup berbahagia.

Tapi setakat ini tiada desakan luar cuma ayahanda dan bonda saya sesekali bagi ‘hint’  ke bahagian bayi dan kanak-kanak kalau ke pasar raya. Lucu juga dengan usikan mereka.

“Abang saya pun belum berkahwin, cuma mungkin sebab saya perempuan yang membuatkan harapan mereka tengok saya naik pelamin dulu lebih tinggi,” katanya.

SEIRING peningkatan usia, Sissy tidak cepat melatah andai ada bertanya soal jodoh. – – Mekap & Penata Gaya ELMANDA ZUHAIRY @elmandazuhairy

Bapa bagi ‘hint’

Ditebak hubungannya dengan rakan seperjuangan iaitu Naim Daniel, pemilik nama lengkap Sissy Imann Mohammad Kamil hanya tersenyum.

Tidak mengiyakan mahupun menangkis khabar mendakwa mereka intim, Sissy mengakui penyanyi Sumpah itu adalah satu-satunya lelaki yang akrab dengannya buat masa ini.

Bahkan, keserasian sama ada dalam kerjaya muzik mahupun ‘sekepala’ secara peribadi membentang ruang keselesaan masing-masing berkongsi rahsia.

Akuinya, keluarga masing-masing juga mengetahui hubungan akrab antara mereka.

Begitupun, wanita tinggi lampai itu hanya tertawa kecil tatkala diusik hatinya sudah dimiliki, selain menyerahkan urusan jodoh kepada Allah.

Saya dan Naim memang rapat. Kami berkongsi hal yang tidak kami ceritakan dengan orang lain. Kiranya dia kenal saya luar dalam.

“Ini mungkin disebabkan kelompok rakan karib kami pun sama, jadi senang untuk kami berkongsi apa jua perkara termasuk masalah.

“Cuma untuk cakap perkara yang ke hadapan, saya tak berani nak sebut apa-apa. Apa yang pasti kami memang rapat,” ujar Sissy tentang sepupunya itu.

SERASI namun Sissy tidak pasti bagaimana arah hubungannya dengan Naim Daniel.

Menurut wanita tinggi lampai itu lagi, dia dan Naim juga dilihat kerap bersama berikutan projek album duet yang bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Baginya, lelaki berusia 27 tahun itu bukan sekadar sahabat susah dan senang, bahkan teman seperjuangan yang mempunyai misi sama.

“Sebenarnya album duet ini sudah lama dibikin, hanya menunggu masa tepat sahaja untuk dilancarkan memandangkan tahun lalu saya sibuk menyempurnakan pengajian Sarjana.

Alhamdulillah, pada November 2025 saya terima skrol, kiranya tahun ini saya akan ‘all out’ promosi album, keluarkan single solo, menyanyi, berlakon dan mengacara.

“Sudah tentu jadual kerja saya kembali padat, jadi soal melangkah ke alam rumah tangga mungkin kena tunggu dulu,” kongsinya.

Genre baru

SELEPAS menggenggam Sarjana, kini masa untuk Sissy menggandakan usaha, termasuk melancarkan single dan memenuhi tawaran mengacara.

Teruja bercerita tentang kerjaya, Sissy yang baru tampil dengan single Passenger Princess mahu mengetengahkan imej lebih matang dalam muziknya.

Kini, Sissy mencuba kelainan dengan mempertaruhkan elemen berbeza daripada album yang dirakamkan di Abbey Road Studios, London, tiga tahun lalu.

Transisi tidak hanya pada diri atau persekitaran, malah menerusi genre yang bakal saya bawakan nanti. Ada banyak karya dalam senarai, cuma tunggu yang mana akan dirakamkan dulu,” katanya.

Mengharapkan kerjaya pengacaraan juga berjalan lancar selepas meraih pujian ketika mengelolakan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), akuinya banyak tawaran mengendalikan majlis korporat disuakan kepadanya.

Berterima kasih atas kepercayaan penganjur, buat masa ini Sissy belum berpeluang menyambut semua tawaran tersebut berikutan pertembungan jadual yang sudah dipersetujui lebih awal.

“Pastinya saya pun tak sabar mahu mencabar diri mengacarakan majlis-majlis korporat. Itu sesuatu yang baru buat saya. Insya-Allah harinya akan tiba nanti,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok