DALAM industri K-pop, tidak semua kisah bermula indah malah ada bintang yang malap sebelum sempat bersinar.
Dituduh, dibenci dan diboikot, semuanya menjadi asam garam dunia glamor yang tidak pernah adil terhadap insan bernama selebriti.
Sebagaimana langit tidak selamanya mendung, begitu juga perjalanan empat figura seni yang pernah dihina dan dibenci, namun hari ini disanjung tinggi.
Perjalanan mereka bukan mudah. Tertunduk kerana kontroversi, dicemuh tanpa belas dan dipinggirkan dalam diam, namun kini berjaya berdiri megah, dipuja peminat serata dunia sekali gus membuktikan kejayaan pasti menyusul sekiranya tidak berputus asa.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat idola K-pop yang pernah menjadi mangsa kebencian kini berdiri gah sebagai simbol kekuatan, ketabahan dan kebangkitan.
Baekhyun
Nama Baekhyun dipuja ramai ketika bergerak sebagai anggota kumpulan EXO. Namun, popularitinya hancur dalam sekelip mata apabila kisah cintanya dengan Taeyeon (SNSD) terbongkar.
Satu dunia seakan berkonspirasi untuk membencinya, dari pentas ke media sosial, semua sudut dilimpahi amarah peminat.
Hadiah dilempar, poster dibakar, dan laman sosial dipenuhi dengan kata-kata kesat. Bagaikan cinta adalah satu jenayah, idola berusia 33 tahun itu terpaksa tunduk dalam senyap dan hiatus buat seketika.
Namun, suara emas dan aura jejaka tampan itu sukar dipadam. Perlahan-lahan, dia kembali dengan karya solo yang memukau khalayak sekali gus menepis segala kebencian.
Pelancaran album solo City Lights membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila ramai mula buka hati untuk menerimanya semula.
Irene
Tahun 2020, dunia K-pop dikejutkan dengan isu buli membabitkan anggota kumpulan Red Velvet, Irene.
Semuanya bermula apabila seorang jurugaya mendedahkan sikap idola berusia 34 tahun itu yang dikatakan kasar dan angkuh.
Dalam sekelip mata, imej manis Irene musnah. Peminat mula berpecah apabila ada yang mempetahankannya dan tidak kurang juga membidas.
Idola sarat kontroversi itu mengambil langkah diam seribu bahasa selama beberapa bulan. Tiada aktiviti hiburan, tiada kenyataan panjang, hanya permohonan maaf secara rasmi.
Namun, selepas tempoh itu dia muncul semula dengan imej lebih tenang dan matang. Dalam temu bual pertama selepas menyepi, wanita tinggi lampai itu dilihat lebih terbuka dan tidak lagi berlagak ‘diva’.
Hyuna
Seksi, liar dan menongkah arus, itu imej yang dibawa Hyuna sejak awal kemunculan.
Namun, sikap berani wanita ini membuatkan dia dibenci sebahagian peminat konservatif Korea.
Ditambah pula dengan pengakuan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi Dawn, idola berusia 32 tahun itu diboikot, digugurkan daripada agensi dan kehilangan banyak tawaran.
Ketika itu, ramai menyangka kariernya telah berakhir, namun pelantun lagu Bubble Pop itu kekal teguh dengan pilihan hatinya, tampil tanpa selindung dan meneruskan kerjaya secara bebas.
Dia dan kekasihnya ketika itu memilih untuk menubuhkan agensi sendiri dan kembali aktif tanpa kongkongan.
Persembahan Hyuna yang hebat dan jujur mula mengubah persepsi orang ramai, malah peminat luar negara mula menyokongnya kerana tidak gentar mengekalkan jati diri.
Video muziknya kembali meraih jutaan tontonan, malah Hyuna antara bintang yang sering dinanti kemunculannya.
SullYoon
Di awal kemunculan kumpulan NMIXX, SullYoon menjadi idola paling dibenci dan dicemuh netizen.
Ramai menuduh kecantikan idola berusia 21 tahun itu hasil pembedahan plastik, malah lebih teruk, persembahannya dikatakan hambar dan kaku, tidak sepadan dengan populariti yang melonjak mendadak.
Gadis jelita itu menjadi sasaran utama forum-forum gosip, malah nama dan wajahnya dijadikan bahan jenaka. Ketika itu dia seakan tiada ruang untuk bernafas dan berkembang sebagai idola baharu.
Dalam erti kata lain, netizen seolah-olah mahu menjatuhkannya.
Begitu pun, idola berkulit putih gebu itu tidak melatah sebaliknya terus bekerja keras membina semula keyakinan di atas pentas. Persembahan demi persembahan, gerak tubuh yang dahulunya kaku kini mula memukau setiap mata yang memandang.
Melihat perubahan itu, pembenci SullYoon mula mengiktiraf bakatnya, mereka yang pernah menolaknya mula terpaut hati.
Kini, SullYoon antara idola yang mempunyai peminat paling ramai. – HIBGLAM