SELEPAS dua tahun naik turun mahkamah, pelakon Hafidz Roshdi boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mencederakan bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Meski ini berita gembira buat Hafidz, namun reputasinya sebagai pelakon telah lama berkubur. Mana mungkin netizen boleh lupa wajah bengkak Shuhada yang tersebar dalam media sosial satu ketika dahulu.
Penangan kes tersebut juga, netizen menjadi saksi ‘kegilaan’ Hafidz sehingga dia diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia.
Dia disahkan waras dan pertuduhan ke atasnya layak dibicarakan atas dakwaan menumbuk Shuhada menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami kecederaan dan bengkak di pipi kiri.
Kesalahan dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, pada 2 Mac 2023.
Namun, selepas dua tahun, kemelut rumah tangga Hafidz telah menjadi ‘drama’ bersiri. Daripada episod kantoi curang, pukul isteri dan menceraikan Shuhada dengan talak satu pada Julai 2023, kisah Hafidz bersambung-sambung ibarat sinetron beratus episod.
Hafidz telah pun berkahwin dengan kekasih lamanya, Athira Yuhada yang diakui sebagai cinta pertamanya nampaknya masih perlu turun naik mahkamah berhubung hadanah pula.
Pada 30 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memberikan hak lawatan sementara kepada Hafidz sepanjang cuti persekolahan pada hujung Mei ini.
Shuhada yang kini menetap di Australia bersama dua anak mereka mengatakan sebagai ibu, dia tidak pernah menghalang Hafidz bertemu anak-anak.
Anak
Namun, kata Shuhada, bekas suaminya itu tidak menjalankan tanggungjawab apabila gagal memberi nafkah sejak mereka bercerai.
“Hafidz tak jalankan tanggungjawab sebagai bapa, culas bayar nafkah.
Anak-anak sekarang bersekolah di sini (Australia) dan cuti sekolah akan datang adalah pada Julai. Kalau dia nak tengok anak-anak, datanglah, tiada masalah.
“Tapi kalau nak saya balik Malaysia dan bawa anak-anak rasa tidak logik.
“Kalau dia bagi duit penerbangan mungkin saya boleh pulang ke sana (Malaysia),” kata Shuhada.

SELAKU ibu, Shuhada bertegas tidak pernah menghalang Hafidz melawat atau bertemu anak mereka.
Dilabel netizen sebagai bapa tidak bertanggungjawab Hafidz tidak melenting. Tegasnya, perjuangan untuk bertemu anak-anak akan diteruskan.
Tidak kisahlah orang hendak cakap saya tak pedulikan anak-anak. Apa yang penting saya sudah buat sehabis baik,” katanya.
Teguh ungkapnya, walaupun terpisah, selagi berbin dan berbintikan namanya, sampai mati pun anak-anak adalah tanggungjawabnya.
Saya yang failkan hadanah, saya pergi ke mahkamah dan hadir setiap kali nak perjuangkan hak lawatan untuk jumpa anak-anak,” ujarnya.
Sebelum ini Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan bercerai talak satu pada 27 Julai 2023.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Humairah, 8, dan Umar yang kini berusia 5 tahun.
Menerusi perkahwinan kedua bersama Athira, Hafidz memiliki seorang anak yang dilahirkan pada 13 Februari 2025. – HIBGLAM