PERNAH melalui situasi konsert dibatalkan pada saat akhir, penyanyi Nadin Amizah mengakui tidak trauma berdepan pengalaman terbabit selain melakukan langkah berjaga-jaga sebelum bersetuju untuk mengadakan persembahan di Malaysia.
Nadin atau nama lengkapnya Nadin Amizah Harahap, 25, bagaimanapun yakin tidak semua penganjur di Malaysia akan mengulangi kejadian membatalkan seperti acara One Love Music Festival pada saat akhir yang sepatutnya diadakan di MAEPS Serdang pada Disember lalu.
Tak trauma tetapi saya lebih berjaga-jaga dan akan teliti dengan siapa saya bekerjasama. Itu yang dilakukan pada tahap awal.
“Memang sebelum ini gagal tetapi saya yakin bukan semua penganjur di Malaysia begitu,” katanya kepada HibGlam semasa sidang akhbar Malam Mendengar Nadin Amizah, semalam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Bertaut itu turut menarik nafas lega apabila kali ini persiapan mengadakan konsert berjalan lancar.
“Semoga berjalan lancar sampai selesai pun sudah cukup buat saya lega sangat.
“Sebelum ini masa datang ke Malaysia saya tidak sampai ke lokasi persembahan. Dari lapangan terbang terus ke hotel dan tiba-tiba konsert dibatalkan.
Sekarang sudah ada di lokasi persembahan, alat muzik juga dah ada di atas pentas dengan sangat lengkap, insya-Allah semua okey,” ujarnya lagi.
Ditanya mengenai keterujaan untuk beraksi di pentas Zepp, KL buat kali kedua, Nadin tidak sabar mahu membawakan lagu-lagu yang tidak pernah dipersembahkan di Malaysia sebelum ini.
“Kali ini saya teruja nak bawa warna baharu yang penonton Malaysia belum pernah tengok di atas pentas. Lagipun sebelum ini rambut saya masih berwarna hitam.
Ketika itu banyak lagu yang saya belum berani bawakan sebab rasa penonton Malaysia tak boleh terima karya dalam album Selamat Ulang Tahun tetapi ternyata saya salah.
“Jadi, kali ini saya bawakan banyak lagu dan teruja nak tunjuk saya bukan individu baharu tetapi ada banyak perkara yang mahu penonton dengar,” jelasnya.
Malam ini, Nadin akan memukau peminat Malaysia menerusi showcase Malam Mendengar yang dipersembahkan secara orkestra di Zepp, KL.
Showcase yang dianjurkan Renjana Idea itu bakal dihadiri 40 pemuzik orkestra profesional yang dibawakan khas dari Jakarta bagi menemani Nadin. – HIBGLAM