Tak reti taubat, Tom Cruise masih tak jumpa ‘malaikat maut’

BAKAL menginjak usia 63 tahun, pelakon ternama Hollywood, Tom Cruise terus menghipnosis dunia sinema global menerusi lakonan luar biasa filem terbaharu, Mission: Impossible – The Final Reckoning.

Pada tayangan perdana di TGV 1 Utama, Petaling Jaya hari ini, usai filem arahan Christopher McQuarrie tamat ditayangkan, rata-rata penonton memberikan tepukan gemuruh gara-gara kehebatan kualiti cemerlang filem edaran Paramount Pictures tersebut.

Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok (17 Mei 2025), naskhah yang menelan bajet pembikinan kira-kira A$300 hingga A$400 juta itu merupakan kesinambungan Dead Reckoning Part One yang diluncurkan dua tahun lalu.

Tanpa membocorkan sebarang spoiler, antara babak yang membuatkan ramai ternganga adalah aksi Ethan Hunt (lakonan Cruise) ‘berpaut’ pada pesawat jenis biplane (sayap bertingkat) pada ketinggian udara yang tidak tercapai akal.

Seperti kebiasaan, kesemua aksi lagak ngeri tersebut dijayakan sendiri Cruise atau nama lengkapnya, Thomas Cruise Mapother IV.

“Apabila anda meninggalkan kokpit (tempat kawalan) pesawat, itu seperti melangkah ke permukaan planet lain.

Angin memukul dia (Cruise) melebihi 140 batu sejam (225 kph) yang keluar dari kipas. Dia bernafas, tetapi hanya secara fizikal, dia sebenarnya tidak mendapat oksigen,” ujar pengarah seperti dipetik dalam satu wawancara sempena Festival Filem Cannes.

Selain Cruise, Mission: Impossible – The Final Reckoning turut dibintangi pelakon hebat Hayley Atwell, Ving Rhames, Simon Pegg, Henry Czerny dan Angela Bassett.

Ulasan penuh Mission: Impossible – The Final Reckoning minggu hadapan menerusi sisipan HibGlam hari Sabtu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok