‘Media sosial dulu untuk berseronok, zaman sekarang telanjangkan aib’
PELAKON Raja Ilya mempertikai sikap segelintir individu yang sanggup melondehkan aib sendiri termasuk kisah dalam kain dalam media sosial.
Menurut Raja Ilya, 39, penggunaan media sosial hari ini dilihat semakin menjurus ke arah negatif semata-mata untuk mendapatkan jumlah tontonan yang tinggi.
“Dulu media sosial lain tetapi sekarang sudah berbeza. Sebelum ini berkongsi momen gembira dan perkara kelakar tetapi bermakna.
Tapi sekarang, semua benda jadi konten. Sakit, kematian, drama rumah tangga, semua itu konten untuk dapatkan tontonan dan tanda suka sehingga tidak kisah dengan privasi.
“Paling penting viral. Sedih bila fikir, kita sanggup telanjangkan emosi depan orang tak dikenali tapi tutup perasaan depan orang yang kita sayang,” katanya dalam Instagram.
Raja Ilya turut mempersoal tindakan segelintir individu yang memilih berkongsi hal peribadi kepada umum kerana perkara tersebut baginya tidak sopan.
“Adakah kita memang nak kongsi semua benda yang berlaku dalam kehidupan seharian dalam media sosial?
Adakah semuanya tayang untuk dunia semata-mata untuk dapatkan validasi umum atau kerana diri sendiri sudah hilang batasan.
“Media sosial sepatutnya menjadi tempat bersuka ria bukannya menjaja luka tetapi sekarang semakin menjadi toksik. Suami isteri berbalas sindiran dalam media sosial,” ujarnya.
Katanya, orang ramai juga perlu mengambil masa untuk berhenti seketika bermain media sosial dan habiskan masa bersama keluarga.
Masa tidak tunggu kita dan media sosial tidak akan pernah puas dengan apa yang kita beri.
“Kita kongsi benda bermanfaat, motivasi dan pengalaman yang boleh membantu orang.
Bukan semua nak dijadikan drama episod harian walaupun menghiburkan untuk ditonton.
“Ini hanya pendapat. Tidak salah kalau kita menjadi yang tenangkan, bukan menambah. Risau tengok media sosial hari ini, betul tak apa yang saya rasa?” katanya lagi. – HIBGLAM