RAMAI lelaki ‘back up’ Budin.”
Demikian kata pelakon Kamal Adli yang terharu apabila watak lakonannya dalam drama popular, Dia Imamku berjaya menarik perhatian ramai penonton lelaki.
Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, naskhah yang bersiaran di saluran Astro Ria itu memberi impak tersendiri dalam kerjaya seninya.
“Impak yang lebih besar adalah apabila kita berjaya tarik penonton lelaki. Kalau nak tahu, lelaki lebih ramai menonton drama ini berbanding perempuan.
Berdasarkan hantaran dalam media sosial mengenai drama ini, kebanyakan yang komen adalah lelaki.
“Saya bersyukur watak Budin menangkap perhatian orang ramai,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan drama Dia Imamku, di sini, semalam.
Tambah suami kepada pelakon Uqasha Senrose itu lagi, sudah lama dia tidak merasai momen sebegini selepas kali terkahir menerusi drama gandingan dengan isteri iaitu Setelah Terlafaznya Akad dan Perempuan Tanpa Dosa.
“Pada mulanya saya risau juga kerana sebelum drama ini ditayangkan, dua drama sebelumnya iaitu Andai Tiada Dia dan Curang Tanpa Niat menjadi fenomena.
Ada juga netizen yang berpendapat saya tidak sesuai menjadi hero drama Dia Imamku. Katanya saya tak sesuai jadi imam dan macam-macam lagi lah. Sampai saya tak sanggup nak baca komen.
“Tetapi Alhamdulillah akhirnya drama ini menjadi fenomena dan watak Budin melekat dengan saya. Pergi mana-mana pun orang dah tak panggil saya Kamal tetapi Budin,” kongsinya.
Dia Imamku yang turut dibintangi Siti Saleha, Haneesya Hanee dan Imam Shah bakal melabuhkan tirai malam ini dimana dua episod akhir ditayangkan sekali gus selama dua jam. – HIBGLAM