MASIH berduka kehilangan anak dalam kandungan, pelawak Shuib menzahirkan rasa syukur dipinjamkan rezeki itu meski cuma seketika.
Shuib atau nama asalnya Shahmira Muhamad, 41, turut menganggap kehadiran anaknya itu sebagai kenangan berharga buat keluarganya.
“Simpan sini buat kenangan yang dia (bayi) pernah hadir dalam keluarga kami. Namanya Bintang, ‘Anak Mekah’.
“Terima kasih di atas kehadiran walaupun hanya sekejap.
“Cukup bermakna dan indah buat kami sekeluarga lebih-lebih lagi mummy (panggilan isteri),” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Shuib turut memuat naik video sewaktu mendapat khabar gembira bakal menimang cahaya mata bersama anak-anaknya yang dipercayai semasa menunaikan umrah April lalu.
Selain itu, bapa kepada empat anak itu turut memberikan kata-kata semangat buat isterinya, Watie Hanifiah dalam mendepani ujian tersebut.
“Insya-Allah semoga jumpa di syurga. Daddy (panggilan Shuib) dan anak-anak sayang mummy.
“Awak sudah buat yang terbaik, susunan Allah lebih mengetahui.
“Semoga kita semua dikurniakan rahmat dan berkat dunia dan akhirat,” tuturnya.
Semalam, Watie mengumumkan dirinya keguguran minggu lalu selain memaklumkan pernah mendapat petanda dalam mimpi akan keguguran.
Sebagai rekod, Shuib dan Watie sah bergelar suami isteri pada 23 Jun 2023.
Shuib sebelum ini dikurniakan empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. – HIBGLAM