ANGGOTA kumpulan Dolla, Tabby bersyukur apabila dirinya bebas kontroversi jika dibandingkan dengan dua rakannya, Sabronzo dan Angel.
Menurut Tabby atau nama sebenarnya Tabhita Ariel Lam, 25, apa yang menjadi keutamannya adalah cerita mengenai kerjaya seni.
“Sejujurnya saya tak tahu nak komen jika ditanya kenapa saya tiada gosip panas. Saya rasa saya seorang yang ‘clean’ dan mahu terus kekal begini.
Saya bersyukur dapat kekalkan reputasi tanpa sebarang gosip panas. Saya percaya untuk kekal sebegini juga perlukan ‘effort’.
“Saya bersimpati dengan rakan-rakan yang lain kerana apabila terpalit gosip, mereka perlu menjawab. Saya tahu mereka tertekan,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di majlis pelancaran lagu baharu Dolla, MWA! baru-baru ini.
Ditanya adakah dia sudah bersedia seandainya satu hari nanti dirinya diuji dengan kontroversi, kata Tabby seboleh mungkin dia akan elak.
“Kalau boleh saya tak mahu. Biarpun orang cakap tak kisah baik atau buruk gosip tetap satu bentuk publisiti. Saya percaya hasil kerja juga publisiti buat saya,” ujarnya. – HIBGLAM