BERGELAR seorang bapa buat pertama kali sememangnya satu fasa luar biasa. Itulah sedang dilalui penyanyi, Yonnyboii yang kini lebih selesa meletakkan keluarga sebagai keutamaan hidup.
Bukan kerana kerjaya seni semakin memudar sebaliknya fokus pemilik nama penuh Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin kini tertumpu sepenuhnya buat insan kecil yang telah mengubah seluruh rutin hariannya.
Menurut pemilik nama pentas Yonnyboii itu, kehadiran anak lelaki yang diberi nama Kairo merupakan hadiah terindah buat dirinya dan isteri, Nik Nazira Narriman.
“Hampir setengah tahun saya menyepi daripada dunia nyanyian dan banyak fokus kepada anak. Jadi, kebanyakan masa memang habis dengan keluarga.
Bagi saya, ini sahaja waktu yang ada dengan dia, jadi memang akan gunakan sepenuhnya dan berada bersama Kairo setiap masa. Dia dunia saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Berkongsi tentang perubahan hidup selepas memegang status bapa, Yonny mengakui tanggungjawabnya semakin besar.
Dia bagaimanapun tidak melihat perkara tersebut sebagai satu beban sebaliknya perjalanan yang semakin mematangkannya.
Orang kata benda ini yang akan kita rindu nanti. Jadi, dalam tempoh empat tahun ini, saya mahu lebih utamakan anak berbanding karier seni.
“Namun tidak bermakna saya nak tinggalkan kerjaya seni buat selama-lamanya, cuma sekarang lebih kepada kerja di belakang tabir.
Ini adalah pengalaman baru sebab bukan sesuatu yang boleh dikutip di mana-mana dan sangat seronok.
“Saya cuma harap sentiasa dapat tengok anak membesar depan mata,” ujarnya.
Isteri tulang belakang

YONNYBOII bersama isteri, Nik Nazira dan permata hatinya, Kairo.
Bukan sahaja anak, Yonni turut menyifatkan isterinya sebagai tulang belakang utama dalam hidup dan karier seninya ketika ini.
“Penyokong paling kuat saya ketika ini ialah isteri saya. Dia yang selalu menemani saya ke setiap persembahan.
Kalau dia tiada, saya akan rasa susah hati. Kalau ada yang mahu bawa kami berdua, sudah jadi seperti satu ‘set’ dan anak pun akan ikut sekali, pakej lengkap,” katanya sambil tertawa.
Meski kesibukan tugas sebagai bapa dan suami, Yonnyboii tetap mencari ruang menghasilkan karya baharu.
“Saya masih aktif hasilkan muzik dan sekarang sudah ada studio sendiri serta mengubah lagu untuk artis lain.
“Walaupun lama ‘hilang’, saya sentiasa mencari dan mencuba cari ruang dan ‘resipi’ baharu untuk terus berkarya,” katanya.
Pelantun lagu Sakit itu turut mendedahkan bakal melancarkan sebuah lagu kolaborasi bersama seorang artis legenda.
Enggan berkongsi secara terperinci, lagu tersebut dijangka menemui peminat sekitar Julai depan selain berharap akan mendapat sambutan yang baik serta membuka ruang untuk kerjasama dengan lebih ramai penyanyi hebat pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Yonni mengakui teruja bakal membuat persembahan di acara Latihan Pestapora pada Julai depan.
Saya akan sepentas dengan penyanyi hebat lain dan ini juga peluang untuk mencari ruang dan peluang melebarkan sayap ke Indonesia.
“Umum tahu Pestapora antara acara muzik gergasi di sana, jadi saya lihat kerjasama ini sebagai satu usaha yang bagus untuk industri muzik kita juga,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Selain Yonni, Latihan Pestapora yang dibawakan Hitman Solutions yang bakal berlangsung di Sunway Lagoon itu akan dimeriahkan dengan penyanyi tempatan dan Indonesia seperti Pamungkas, Efek Rumah Kaca dan Dolla. – HIBGLAM