PELAKON Datuk Aaron Aziz menyelar tindakan seorang pempengaruh yang memperlekehkan beberapa jurusan di pusat pengajian tinggi dengan dakwaan program bodoh dan tiada hala tuju.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 49, berkata, individu menggunakan panggilan DMA Islam itu tidak selari dengan namanya, selain ‘buta’ mengenai bidang pengajian Komunikasi Massa, Teater, Muzik dan Tarian.
Nama guna DMA Islam. Tapi tak habis-habis kutuk-kutuk orang macam lah kau terpaling profesor (serba bijak).
“Buang sahaja nama ‘Islam’ kalau kau nak burukkan seni orang lain,” katanya dalam hantaran Reels di Instagram.
Menurut Aaron, aliran komunikasi serta seni sama penting seperti bidang lain apabila turut membantu menjana ekonomi negara termasuk menerusi filem pecah panggung.
Bahkan, kata pelakon filem KL Gangster itu, pembangunan dalam industri hiburan tanah air juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
Industri ‘Mass Communication’ inilah yang menaikkan industri filem (mencecah kutipan) ratusan juta,” ujarnya.
Terdahulu, perkongsian pempengaruh yang mendakwa pelajar jurusan disebutkan hanya mahu bersosial dan tidak berminat untuk belajar mengundang polemik.
Begitupun, rata-rata meminta orang ramai tidak melatah kerana tujuan sebenar pempengaruh mengeluarkan konten kontroversi adalah untuk ditularkan.
Malah sebilangan besar pengikut Aaron meminta agar netizen melaporkan akaun tersebut kepada pengendali kerana disifatkan menghina dan memprovokasi.
Saya tengok dia macam tak betul je. Report sahaja. Selesai,” tulis seorang peminat.
“Abang Aaron, saya rasa dia ni anak syurga. Minta jangan layanlah,” ujar pengikut lain.
Mula-mula ingat dia buat-buat bodoh, tapi rupa-rupanya bodoh dia bukan dibuat-buat,” kata seorang pemilik akaun Instagram.
“Dulu budak ni pernah buat video nak cari isteri tapi yang boleh #*, menjijikkan,” luah netizen.
Aaron antara selebriti yang lantang dan menggunakan laman sosial sebagai medan meluahkan pandangan terhadap sesuatu isu. – HIBGLAM