MESKIPUN dihambat pelbagai kontroversi, pelakon Hafidz Roshdi mengakui ada menerima beberapa tawaran lakonan.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Muhammad Hafidz Roshdi, 31, terpaksa menolak kerana bimbang kehadirannya akan menjejaskan sesebuah karya.
“Dari segi kerjaya saya masih lagi menerima tawaran dan ada penerbit yang tanya khabar.
Penerbit masih beri tawaran kepada saya, cuma saya saja yang ragu-ragu sebab kes saya masih berjalan sebelum ini. ‘
“Saya tidak mahu disebabkan saya, tercetus pelbagai kontroversi dan perkara tidak baik berlaku,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi lanjut, pelakon filem Pusaka itu akan meneruskan minatnya dalam dunia lakonan.
Selagi ada tawaran, pihak produksi masih mahukan saya dan ada permintaan, saya on (okey) sahaja.
“Memang minat saya dari dulu. Saya tak pernah sekat karier saya,” ujarnya.
Selain itu, Hafidz juga berharap orang ramai dapat menghentikan kecaman terhadapnya lebih-lebih lagi apabila kes mahkamah sudah pun selesai.
“Sebelum kes ini (pukul) pun saya masih menerima persepsi buruk.
Jadi, selepas kes ini selesai, saya harap semua kecaman dan persepsi itu dihentikan,” jelasnya.
Sebelum itu, bapa kepada dua anak itu pernah mendedahkan cuba beralih bidang ke dunia belakang tabir.
Dia juga melakukan pekerjaan baharu iaitu sebagai penghantar Lalamove. – HIBGLAM