‘Pendarahan dalaman, rahim saya ada banyak darah beku’

TERBAWA-BAWA emosi sempena sambutan Hari Ibu, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi pengalaman berdepan komplikasi pendarahan dalaman selepas melahirkan anak pertama, Siti Aafiyah sekitar tujuh tahun lalu.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, paling sukar dilupakan apabila darah beku yang berada di dinding rahim memberi impak terhadap kesihatannya, selain tidak membolehkannya aktif atau bersenam.

“Semua tahu saya mulakan senaman selepas bersalin agak lambat sebab saya kena baik pulih dalaman saya dulu.

“Saya ada pendarahan dalaman yang teruk selepas bersalin. Dalam rahim saya ada banyak darah beku yang perlu dikeluarkan.

“Doktor pun tak bagi saya usik, bengkong pun tak boleh pakai, memang masalah. Saya betul-betul bersenam selepas habis pantang. Baru berani,” katanya dalam siaran langsung di Tik Tok.

Menurut penyanyi lagu Aku Bidadari Syurgmu itu, perkongsian pengalaman dilalui juga adalah bersempena sambutan Hari Ibu.

Kata Siti, beliau turut bersyukur dikurniakan tahap tahan kesakitan yang agak tinggi biarpun berdepan masalah sepanjang kelahiran permata hatinya.

“Alhamdulilahh, Allah permudahkan saya. Orang cakap saya punya pain tolerance saya sangat tinggi sebab tak rasa sakit.

Mungkin ini agak sensitif tapi Hari Ibu ini saya nak cerita juga pengalaman ini. Wanita yang berdepan masalah ini biasanya sakit waktu nak bagi baby susu.

“Akan sakit pada bahagian dada atau ari-ari tapi saya langsung tak rasa (sakit). Allah permudahkan saya,” ujarnya.

Ramai netizen menzahirkan perasaan terharu mengikuti perkongsian tersebut sekali gus menyifatkan pengorbanan seorang ibu sangat besar.

Terdahulu, selepas 11 tahun menunggu, Siti melahirkan cahaya mata sulung pada 19 Mac 2018, malah perkahwinannya dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa diserikan anak kedua, Muhammad Afwa pada 19 April 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok