PENYANYI Datuk Nora Ariffin mempersoal tindakan segelintir pihak yang didakwa suka mengambil tahu tentang dirinya termasuk melemparkan kata-kata negatif dalam media sosial.
Menurut Nora, 52, individu terbabit didakwa sanggup membuat akaun palsu hanya untuk mengumpat dan menjadi ‘stalker’ untuk setiap perkongsian media sosial miliknya.
“Kalian lawak, kata tidak minat dan tak suka tetapi ikuti media sosial saya untuk ‘stalk’ serta gigih cipta akaun palsu untuk mengata saya. ‘Gigih buat akaun palsu nak ‘stalk’, mengata saya’
Muat naik gambar suami tetapi kata saya ‘menayang’ sedangkan dia pun suka. Kongsi foto bekas suami, orang kata tidak menjaga hati suami pula padahal sama-sama teringat.
“Gambar sedih pula kata saya padan muka, kalian nak apa sebenarnya?” katanya dalam Instagram Story.
Geram menjadi mangsa kecaman, Nora menasihatkan agar pihak terbabit melakukan kerja lebih berfaedah yang boleh menghindarkan diri daripada membuat dosa.
“Lebih baik layan, jaga suami dan anak-anak.
Itu lebih mendapat pahala daripada menjaga rumah tangga saya,” jelasnya.
Beberapa hari lalu, Nora menerusi platform X menitipkan pesanan agar netizen tidak sesuka hati dan berhati-hati memberi komen negatif dalam akaun Instagramnya termasuk berunsur fitnah serta mengaibkan.
Sebelum itu, dia turut mencuri perhatian ramai apabila memuat naik foto bersama Allahyarham Johan Nawawi dengan kapsyen:”Bercerai hidup tidak sama seperti bercerai mati.”
Terdahulu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Namun, kemelut rumah tangga Nora terus berpanjangan apabila suaminya, Dr. Rushdi Ramli enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi itu pada prosiding sebutan pertama ke perceraian kerana mahu menyelamatkan rumah tangga mereka. – HIBGLAM