‘Kalau ada lelaki ikhlas mahu nikahi ibu, saya gembira’

DALAM gejolak dunia glamor yang sering menggoda anak seni dengan bayangan cinta dan kemewahan, pelakon muda Erysha Emyra memilih berdiri utuh, memaku tekad di landasan kerjaya yang sedang mekar disusun satu demi satu.

Tidak gentar ditanya soal jodoh atau ditekan hal perkahwinan, Erysha tahu hatinya belum bersedia.

Bukan kerana tiada siapa yang mahu, tetapi kerana ingin melakar impian dengan kaki sendiri terlebih dahulu sebelum menggenggam tangan sesiapa untuk menumpang bahagia.

“Cinta itu manis, tapi kerjaya saya masih belum sempurna. Saya mahu berdiri dengan nama sendiri dahulu sebelum fikirkan soal hidup berdua.

Saya percaya, bila kita dah bersedia, jodoh akan hadir tepat pada waktunya. Buat masa sekarang, cinta bukan keutamaan,” katanya kepada HibGlam membuka bicara penuh jujur.

Bagi Artis Baharu Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu, usia muda adalah medan untuk membuktikan kebolehan, bukan masa bersimpang-siur dalam hal jodoh yang belum tentu hujungnya.

Saya sendiri tak pernah letak perkahwinan dalam perancangan terdekat. Fokus saya sekarang adalah kerjaya, perbaiki mutu lakonan dan terus cari ruang untuk berkembang dalam industri.

“Kalau ada jodoh itu, adalah. Tapi nak cakap soal kahwin, saya rasa lambat lagi. Saya tak mahu terburu-buru dan akhirnya menyesal,” ujarnya penuh realistik.

Pemilik nama penuh Erysha Emyra Ahmad Fazli itu pernah mencuri perhatian menerusi drama bersiri Perempuan Itu dan Aku Bukan Ustazah.

Aura wajah manis, ditambah dengan penghayatan watak yang jujur, menjadikan namanya semakin dikenali sebagai pelapis baharu dalam dunia seni.

Namun dalam senyum yang terukir, terselit juga kisah duka yang tidak mudah dilupa.

Pemergian bapa tirinya dalam keluarga menjadikan Erysha seorang anak yang semakin matang menilai kehidupan.

Lebih setahun lalu, ibunya yang juga pelakon Datin Seri Noniswara kehilangan suami tercinta, Allahyarham Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad.

MELETAKKAN kebahagiaan ibu sebagai keutamaan, Erysha merestui anda tertulis buah hatinya itu bertemu jodoh baharu suatu hari nanti.

Sejak itu, rumah yang dulunya diisi gelak tawa dua jiwa kini menjadi sunyi dan penuh sepi.

Saya tahu ibu rindu. Mereka sangat rapat. Ke mana sahaja pergi, mesti berdua. Bila arwah pergi, saya nampak sangat perubahan pada ibu.

“Kadang dia termenung jauh. Pernah juga dia luah pada saya rasa sunyi yang dia simpan. Dia kata, kehilangan yang berlaku bukan kerana bercerai, tetapi kerana kematian. Jadi peritnya itu lain,” dedahnya.

Bagi gadis berusia 26 tahun itu, tiada kata yang cukup kuat untuk menenangkan seorang balu. Dia sedar, dirinya cuma mampu meminjamkan bahu dan telinga buat ibunya menumpahkan rasa.

Namun, ada ketika, dia juga terkapai-kapai mencari cara untuk mengubati luka si ibu yang terlalu dalam calarnya.

“Bila ibu bersedih, kadang-kadang dia akan telefon saya, hanya untuk menangis. Saya tak tahu nak cakap apa selain tenangkan dia.

Tapi dalam hati saya, rasa bersalah itu tetap ada. Sebab kalau saya di set atau ada kerja, saya tak mampu bersama dia.

“Jadi bila ada masa lapang, saya akan bawa dia keluar, teman dia makan, tengok wayang. Saya tahu, bukan senang nak pujuk hati seorang balu,” luahnya.

Melihat kesedihan yang lambat surut dalam diri ibunya, Erysha juga terbuka dan merestui andai satu hari nanti ibu kesayangannya itu ditemukan jodoh semula.

Kalau ada lelaki yang ikhlas mahu menikahi ibu, menjaga dia dengan baik, saya reda dan gembira.

“Saya pun tak kisah kalau dia kahwin dahulu sebelum saya. Tak ada siapa perlu berlumba untuk ke jenjang pelamin,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok