‘Peminat boleh jadi lalang, jaga hubungan dengan mereka’

SECARA analoginya, dalam langit seni, tidak semua bintang mampu bersinar sebaik sahaja dilontar ke orbit. Ada yang jatuh semula ke bumi, ada pula terus berkedip dalam gelap, menanti giliran menjadi gemerlap.

Tiada satu pun jalan menuju kejayaan yang sentiasa rata dan tenang.

Ada cerun bernanah air bisa, ada simpang sarat luka jiwa.

Begitu juga langkah anak seni berusia 25 tahun bernama Aisha Retno. Jalannya tidak mudah, namun dia terus cekal berdepan cabaran, malah berjuang menyertai pelbagai pertandingan demi membina jenama dalam peta muzik tanah air.

Sekadar meraih tempat ketiga dalam program Big Stage 2022 tidak pernah melemahkan nyawa seninya, malah namanya melangkaui juara Elica Paujin dan naib juara Danial Chuer.

Hakikatnya kini, langkah Aisha lebih luas, sinarnya lebih terang.

Itulah titik tolak yang melambungkan namanya melepasi garisan juara, memahat prestasi luar biasa hingga muncul Naib

Juara dan Persembahan Terbaik di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Mengulas kejayaan itu, pemilik nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu enggan mendabik dada.

TAK pernah kenal erti putus asa, Aisha akan terus memenangi hati orang ramai dengan buah tangan terbaharu.

Baginya, semuanya adalah aturan Tuhan dan memilih jalan tulus, membiarkan muzik menjadi kompas, bukan populariti.

“Tiada sebarang strategi saya gunakan, saya hanya ikhlas dalam menghasilkan muzik dan tidak pernah menyerah berjuang untuk muzik.

Kalau datang hal-hal negatif yang saya dengar, ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri untuk saya. Dalam bidang muzik kena berani, perlu ada satu attitude yang ‘apa nak jadi, biarkan jadi’.

“Selepas habis Big Stage, saya tidak pernah sasar sesuatu, semua yang terjadi berjalan atas izin Allah,” katanya kepada HibGlam.

Bagi pelantun lagu Sutera itu, apa lebih penting daripada mahkota kejayaan ialah jalinan kasih bersama peminat. Tanpa mereka, alunan seninya hanya tinggal gema kosong yang tidak bersambut.

“Juara bukan tiket kekal relevan, semua bergantung dengan rezeki. Hubungan dengan kelab peminat juga sangat penting selain hubungan dengan penggiat seni juga penting.

Peminat boleh jadi seperti lalang, mereka akan sokong artis yang sedang naik. Tapi bagaimana kita jaga hubungan dengan mereka, kemas kini muzik kita. Semua itu sangat mempengaruhi.

“Apapun anggaplah peminat sebagai pemangkin utama kita. Biarkan peminat sebati dengan artis, peminat ibarat nadi artis,” ujarnya mengangkat setia peminat sebagai tulang belakang perjuangan.

Anak kepada penyanyi keroncong Indonesia, Jean Retno Aryani itu mengakui kekuatan sebenar terletak pada doa yang tidak putus dari insan yang membawanya ke dunia ini.

“Saya rasa doa seorang ibu itu yang menyuluh cahaya untuk jalan terus.

Ke mana sahaja saya pergi, ibu akan menemani. Dia selalu pesan, jaga diri, jaga hati. Beradab dengan orang lain, itu adalah tertib seorang manusia.

“Jujur juga, saya bertuah kerana dikelilingi pengurusan, sahabat handai dan rakan-rakan media yang tidak pernah putus memberi sokongan serta kritikan membina. Saya tidak hanya mengharap pujian semata.

Kejayaan itu harus ada manis dan pahitnya. Tanpa pasukan yang baik dan kritikan yang membina, mungkin kita akan hanyut dalam perasaan sendiri. Sukar untuk sampai ke destinasi yang dituju,” tuturnya menutup bicara.

Berkongsi perkembangan terkini, Aisha sedang sibuk menyiapkan material baharu buat pemuja bakat seninya.

Sementara itu, dia kini sibuk mempromosi berjudul Terbang, hasil eksperimen dengan adunan muzik R&B dan jazz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok