KETIKA bintang lain masih tercari-cari sinar, nama Ernie Zakri sudah lama berkelip megah di langit seni tanah air.
Dibalut suara emas dan dibajai kesungguhan tanpa noktah, penyanyi kecil molek itu terus mencorakkan gemerlap dalam acuan sendiri.
Tiga kali menjulang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL), selain dinobatkan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23), itu bukan sekadar angka-angka kosong, tetapi puncak bukti keringat dan bakat sejati.
Tidak sekadar gah di pentas, Ernie turut mencatat sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai artis wanita Malaysia dengan capaian ‘Spotify Monthly Listeners’ melebihi 5 juta pendengar iaitu angka yang menyulam namanya dalam persada digital tanah air.
Popularitinya tidak hanya bertakhta di tanah air, malah sudah mula mengalir deras menyeberangi Selat Melaka, mekar harum di bumi seberang, Indonesia persis langkah awal Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menakluk pentas Nusantara.

BUKAN mudah menjadi isteri, ibu dan penghibur, namun Ernie terpaksa berkorban dan mengatur strategi agar semuanya berjalan sempurna.
Pengorbanan
Namun, dalam deras arus kerjaya yang semakin ‘mendunia’, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu tetap setia memikul amanah sebagai isteri dan ibu.
Biar terpaksa menahan rindu, perlu berulang-alik ke luar negara tidak pernah melunturkan cinta kepada keluarga kecilnya.
Bagaimanapun, dia bersyukur dikurniakan suami yang penuh pengertian, penyokong setia dalam setiap langkah perjalanan hidupnya.
“Setiap kali saya perlu ke luar negara, saya akan pastikan jadual saya selari dengan jadual Syamel. Saya tidak pernah sesekali meninggalkan anak tanpa perancangan.
Tapi saya harus akur dan bersyukur, Syamel adalah bapa yang luar biasa. Khawla (anak) memang sangat okey kalau dengan daddy dia. Daddy boleh masak, daddy boleh buat semuanya.
“Cuma, bila berjauhan, rasa rindu itu tetap membuak-buak. Anak saya pun, sentiasa mencari saya, begitu juga saya, teringat selalu pada dia,” katanya kepada HibGlam.
Dalam keasyikan menjadi kejora di langit tinggi, penyanyi berusia 33 tahun itu tidak pernah alpa tentang keperluan membesarkan puteri sulungnya dalam suasana penuh kasih sayang dan positif.
“Kami berusaha sebaik mungkin untuk membesarkan Khawla dalam persekitaran positif.
Kita cuba beri yang terbaik walaupun masa sangat mencemburui, kadang-kadang, bila saya tak travel tapi masih sibuk, saya akan bawa dia ke tempat kerja. Saya nak dia sentiasa di depan mata.
“Sebab itu kadang-kadang peminat nampak saya bawa anak ketika menyanyi atau menghadiri kerja seni lain sebab saya rasa dia perlu ikut saya,” luahnya.

SUDAH menggenggam kemasyhuran dan kejayaan, namun banyak lagi impian yang ingin dicapai Ernie termasuk terus relevan menjadi penghibur di hati khalayak.
Pempengaruh perlu bijak
Maka tidak hairanlah jika jiwa sensitifnya mudah terusik apabila ada pihak tanpa ilmu, sewenangnya memberi komen tidak berasas tentang perjuangan seorang ibu.
Semuanya tercetus apabila seorang pempengaruh lelaki memperlekehkan suntikan epidural ketika bersalin dan menyifatkan itu sebagai ‘cheat code’. Perbandingan dangkal itu menyentak naluri keibuan Ernie.
“Macam kes baru-baru ini, saya hanya meluah pandangan dalam platform X tentang sesuatu yang saya rasa tidak betul tapi saya tidak mahu komen lebih-lebih.
Nama pun pempengaruh. Sepatutnya sebarkan benda baik-baik. Kita ni, kadang-kadang dengan satu kenyataan pun boleh pengaruhi ramai orang.
“Saya juga dianggap pempengaruh dan orang kenal, jadi kena ada ilmu sebelum cakap sesuatu,” luahnya penuh makna.
Pun begitu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu menegaskan dirinya bukan jenis artis yang gemar memekik isu demi populariti, malah pendiriannya jelas, bersuara apabila perlu, bukan untuk sensasi.
Nak kata saya berani bersuara, tidaklah begitu. Saya hanya berkongsi fikiran dengan peminat dalam X, tempat saya rasa paling dekat dengan mereka.
“Kadang-kadang ada perkara yang saya rasa perlu ditegur, maka saya kongsi. Tapi bukan bermaksud saya mahu bersuara tentang semua perkara,” ujarnya.

KIAN menjadi perhatian di Indonesia, Ernie berharap dapat mengadakan persembahan solo di negara itu.
Album duet
Enggan terlalu lama membicarakan soal rumah tangga, senyuman manis pelantun lagu Aura itu kembali merekah apabila penulis bertanyakan tentang buah tangan terbaharunya.
Bakal hadir dengan album istimewa berjudul Sahabat, Ernie berkata, karya tersebut menghimpunkan kerjasama bakat dari Malaysia dan Indonesia, sebagai tanda kasih buat peminat di kedua-dua negara.
“Album Sahabat mengandungi lapan lagu duet. Di Malaysia saya berduet dengan Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi.
Manakala di Indonesia, saya berkolaborasi dengan Anggi Marito, Rony Parulian, Andi Rianto dan Ade Govinda. Ada lagi beberapa nama yang sedang dimuktamadkan,” jelasnya.
Pemenang Lagu Paling Boom Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 itu turut berkongsi bahawa empat lagu sudah pun siap dirakam, manakala selebihnya sedang menanti giliran.
Saya fikir daripada buat single, lebih baik himpunkan semuanya dalam satu album. Kami akan lancarkan album ini di dua negara serentak,” dedahnya.
Ernie turut menyimpan impian untuk mengadakan persembahan solo di bumi garuda itu sebagai usaha memperkukuhkan nama.
Buat permulaan, saya rancang mengadakan showcase kecil-kecilan dahulu. Sebab kalau di Jakarta, orang kenal lagu Masing-Masing, tapi belum kenal saya.
“Saya tahu perjalanan ini masih panjang, namun dengan peluang yang Allah berikan, saya mahu melangkah perlahan-lahan dengan penuh yakin,” tutupnya. – HIBGLAM