TARIKH 6 Mac 2025 menjadi awan mendung yang menyelubungi tiga penyampai radio Era FM iaitu Radin, Nabil Ahmad dan Azad Jasmin.
Disebabkan sepotong video memaparkan aksi Azad didakwa mempersendakan sejenis ritual dalam agama Hindu, kehidupan mereka bertukar hura-hara.
Ketiga-tiga mereka akur untuk disoal siasat di Balai Polis Bukit Aman selain menerima hakikat digantung kerja selama sebulan.
Disebabkan salah laku dalam video beberapa saat tersebut, pelbagai kecaman dan kutukan terpaksa mereka telan.
Sebulan berlalu, ketiga-tiga penyampai itu kembali duduk di kerusi DJ bagi menjalankan tanggungjawab sedia ada dengan lebih berhati-hati.

SEDEKAD bergelar penyampai radio, banyak pengalaman yang mematangkan Radin bahkan dia semakin memahami makna sebenar persahabatan.
Bagi Radin atau nama lengkapnya, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani, ujian dilalui bersama dua rakan penyampai bukanlah satu kesan buruk dalam kariernya, namun banyak meninggalkan pengajaran sepanjang sedekad dalam dunia penyiaran.
Peristiwa hitam itu sebenarnya adalah benda yang mungkin boleh jadi pengajaran.
“Alhamdulillah 10 tahun, saya sebelum ini memiliki rekod reputasi bersih.
Apa-apa pun dan saya tak rasa apa yang diuji ini mengakibatkan reputasi buruk ataupun benda yang memberikan impak negatif sebaliknya kita nampak bagaimana kami bangkit semula.
“Sebulan lebih itu kita memang rehat dan ikutkan hati memang nak ‘on-air’. Selama 10 tahun rutin saya memang bersiaran, tiba-tiba sebulan tak ada terasa rindunya,” katanya kepada HibGlam ketika berpeluang bertemu empat mata baru-baru ini.
Akuinya, kesemua pihak terkesan dengan isu tersebut selain lebih berjaga-jaga dalam melakukan apa sahaja perkara lebih-lebih lagi apabila melibatkan media sosial.
Penyampai berusia 35 tahun itu bagaimanapun lega apabila sentiasa mendapat sokongan penuh daripada banyak pihak, termasuk majikannya di Astro sendiri.
“Bila terjadi isu sebegitu kami lebih berwaspada dan sensitif. Kasihan bos kami sebab banyak kerja dia kena buat.
Ketua Pengarah Eksekutif kami, Euan Daryl Smith ada beritahu agar jadi diri sendiri dan jangan risau, ‘langgar’ saja sebab kerja kami dalam bidang kreatif memang tak boleh dikawal.
“Mana-mana bahagian rasa sensitif, akan fikir banyak kali dan secara tak langsung saya rasa kami memang dapat sokongan penuh daripada pengurusan Era dan Astro,” ujarnya.

MENJADI sebahagian daripada keluarga besar Era FM membuka banyak pintu rezeki buat Radin malah dapat berkongsi dengan keluarga terutama ibu tercinta.
‘Soft spot’
Tidak berlama-lama ‘terkurung’ dalam lingkaran kelat, Radin kemudian meluahkan kecintaaan mendalamnya terhadap Era yang membuka peluang rezeki buat dirinya selama ini.
“Era ada ‘soft spot’ dengan saya dan rezeki di sini, saya dapat berbakti kepada emak saya. Jujur cakap apabila di sini, saya didatangi dengan pelbagai rezeki.
Bukanlah membalas jasa emak tetapi dapat menunaikan tangunggjawab sebagai seorang anak. Duit ubat, hospital dan semua benda saya dapat sediakan.
“Waktu saya sedih semasa emak meninggal dunia, semua orang di stesen radio ini menjadi sistem sokongan,” jelasnya.
Anak kelahiran Ipoh, Perak itu mengakui pernah menerima tawaran kerja lain dengan gaji lebih lumayan.
Atas semangat setia kawan dan cintakan Era yang menjadi tempat jatuh bangunnya sebagai anak seni, Radin lebih memilih untuk kekal di posisi sekarang.
“Kalau diceritakan soal tawaran-tawaran daripada radio lain, bukan soal duit atau berapa yang pernah ditawarkan. Semua itu bukan dalam perhitungan tetapi soal kita rasa kerja selesa datang kerja gembira.
Kadang-kadang kawan-kawan perangai pun macam ‘monyet’, itu yang seronok. Bos maki, kita okey, jadi benda begitu tak simpan dalam hati, itu yang saya terima bila saya kerja di Era.
“Lantaklah ada ‘batch’ , penyampai baharu ke siapa pun, ikatan secara tak langsung kita rasa macam inilah antara benda yang paling penting,” tuturnya.

RADIN menolak banyak tawaran daripada stesen lain dengan gaji lebih tinggi hanya kerana mahu kekal
di konti Era FM.
Radin juga tidak mahu mengejar wang semata-mata tetapi lebih kepada membalas jasa Era yang sudah memberikan rezeki sejak awal menapak pada 2014 lalu.
“Sejujurnya, ya ada (tawaran tinggi) tetapi ini melibatkan nak kejar duit atau karier dan Era ini membuka jalan. Saya nak bertapak dalam industri ini saya nak cari karier.
Era membuka jalan, platform yang cukup besar saya, tak putus-putus rezeki datang dan saya tak tahu macam mana saya nak berterima kasih dengan Era.
“Saya rasa tak masuk akal. Dari segi tawaran gajinya memang sangat tinggi tetapi saya rasa pada akhirnya bukan duit semata-mata yang mampu memberi kepuasan,” tutupnya. – HIBGLAM