Andy Teh ajak kaum Cina tonton Blood Brothers

DISIFATKAN sebagai naskhah satu Malaysia, pelakon Andy Teh menyeru lebih ramai masyarakat berbangsa Cina menonton filem Blood Brothers: Bara Naga lakonannya yang kini rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Menurut Andy, 40, filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu dilihat sebagai naskhah bertaraf antarabangsa yang perlu ditontonseluruh rakyat negara ini.

“Terima kasih kepada pengarah yang beri kepercayaan dan nampak kemampuan saya untuk memegang watak Pablo.

“Ini adalah karya anak Malaysia yang setaraf filem antarabangsa.

“Jadi, sekarang saya ada satu misi besar untuk jemput lebih ramai kaum lain selain orang Melayu ke pawagam,” katanya pada sidang media selepas pengumuman kutipan terbaharu Blood Brothers yang kini mencecah RM62 juta selepas 20 hari tayangan.

Dia juga berasa bertanggungjawab untuk mengubah stigma kaum lain khususnya Cina agar menyokong industri perfileman Melayu.

“Mungkin kaum Cina fikir filem ini hanya untuk orang Melayu sahaja.

“Hakikatnya sebagai pelakon berbangsa Cina dalam Blood Brothers, karya ini merupakan satu kebanggaan untuk filem Malaysia yang dihasilkan oleh orang Malaysia untuk kita semua.

“Kini tanggungjawab saya untuk uar-uarkan kepada orang Cina di luar sana supaya datang ke panggung menonton Blood Brothers,” katanya lagi.

Terdahulu, filem terbitan Skop Productions dan Primework Studios itu berjaya meraih kutipan pecah panggung RM62 juta selepas 20 hari berada di pawagam termasuk tayangan awal.

Kejayaan hebat filem yang dibintangi Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson itu meletakkanya dalam senarai Top 5 filem tempatan terlaris sepanjang zaman.

Blood Brothers kini berada di kedudukan ketiga dalam senarai lima filem tempatan dengan kutipan tertinggi selepas Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta), Sheriff: Narko Integriti (RM63.2 juta), Polis Evo 3 (RM54.1 juta) dan Munafik 2 (RM48 juta). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok