Zahnita ‘burnout’, mohon ruang berehat

SELEPAS diasak dengan pelbagai dakwaan dan kontroversi membabitkan rumah tangga dan perniagaan, pelakon dan model Zahnita Wilson mengakui berada dalam fasa keletihan melampau atau ‘burnout’.

Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata, tekanan demi tekanan sejak kebelakangan ini memaksa dirinya memperlahankan aktiviti, termasuk menghentikan seketika operasi jualan pai bagi mencari ketenangan jiwa.

“Saya berada di ambang keletihan yang terlalu penat (burnout).

“Saya letih dari segi mental, emosi dan fizikal, jadi berilah ruang untuk saya berehat sekejap

“Saya akan kembali mengambil pesanan dalam masa satu minggu lagi atau seterusnya. Terima kasih banyak atas sokongan anda,” katanya dalam Instagram.

Dalam hantaran lain, pelakon Kuliah Cinta itu turut mempelawa wakil media hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 18 April ini sempena sebutan kes cerainya dengan Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor.

Menurutnya, prosiding akan membabitkan tiga tuntutan serentak meliputi hadanah, injunksi interim bagi menghalang gangguan, serta pemulangan barangan peribadi.

“Kes turut merangkumi isu penyalahgunaan anak dalam media sosial selain pelantikan hakam keluarga bagi kedua-dua belah pihak.

“Saya akan jawab semua persoalan media selepas selesai prosiding,” ujarnya.

Terdahulu, seorang wanita bernama Nur Hanisah yang juga bekas rakan kongsinya tampil membuat beberapa dakwaan terhadap Zahnita termasuk mempersoalkan kredibiliti kenyataan aktres berkenaan mengenai kes penderaan rumah tangga.

Sebagai reaksi balas, Zahnita memuat naik salinan laporan kesihatan daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dipercayai bagi menyokong dakwaan kecederaan fizikal dialami.

Dalam masa sama, dia turut mendedahkan mesej perbualan bersama peguam yang memaklumkan pihak pembelaan mahu memfailkan representasi bagi menggugurkan atau meminda pertuduhan berkaitan keganasan rumah tangga.

Difahamkan, kes akan disambung pada 14 Mei depan untuk proses dokumentasi lanjut.

Terdahulu, Zahnita sebelum ini pernah mencetuskan kekecohan apabila memuat naik foto menunjukkan matanya lebam pada 2 Disember 2024 dan mendakwa dipukul suami.

Susulan kejadian itu, Abdul Zackery dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan pada 4 Disember atas dua tuduhan termasuk mendatangkan kecederaan dan kesalahan berkaitan dadah. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok