BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka dengan hasrat syarikat Suria Records (SRC) yang mahu mengeluarkan 11 lagu lama pernah dirakamkannya ketika di bawah pengurusan label itu.
Begitupun, katanya perancangan terbabit perlu diperincikan secara bersama terlebih dahulu bagi mencari kata sepakat agar memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
“Memang ketika bersama SRC sebelum setiap kali rakamkan album kami akan rekodkan banyak lagu, jadi ada lagu lebih yang disimpan. Cuma selepas keluar dan di bawah naungan syarikat sendiri, kita tidak bercakap lagi soal itu.
“Saya baca berita mengenai hasrat SRC itu dalam media sosial, tetapi belum ada perbincangan lanjut. Kita boleh duduk berbincang sebab SRC pun sudah macam keluarga saya.
“Kalau perancangannya bagus, mengapa tidak? Saya melihat juga apa kebaikan yang boleh diberikan kepada kedua-dua belah pihak. ‘Win-win situation’ itu kena ada,” katanya selepas pelancaran lagu runut bunyi dan videp muzik filem Telaga Suriram, Sesal di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Menurut Siti, 11 lagu yang belum pernah dikeluarkan itu terdiri daripada pelbagai genre termasuk hasil ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
Katanya, sudah tentu berbeza dengan vokalnya sekarang kerana ada karya yang dirakam pada usia belasan tahun, manakala jika masuk studio semula memerlukan tempoh panjang.
“Sekarang saya sedang menyiapkan album tradisional dan sudah memulakan proses mengumpul bahan dengan jangkaan siap sebelum akhir tahun.
“Jadi saya kena sempurnakan dahulu album baharu di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL) memandangkan kami dapat dana dari MyCreative Ventures Sdn Bhd.
“Semuanya perlu mengikut jadual yang ditetapkan. Selain album tradisional, ada beberapa konsert bakal berlangsung. Apa pun semuanya boleh dibincangkan kalau mahu merakam lagu lama itu semula,” katanya.
Pada masa sama, Siti juga tiada halangan sekiranya syarikat rakaman terbabit mahu memberikan lagu-lagu itu kepada penyanyi lain.
“Sudah tentu boleh kalau artis lain nak merakamkan lagu itu. Saya tiada halangan sebab ia hak SRC, kalau dia nak bagi artis nyanyi, tiada masalah,” ujarnya.
Terdahulu, SRC menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan mengeluarkan baki lagu yang pernah dirakamkan penyanyi nombor satu negara ketika masih bernaung dengan label berkenaan.
Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan berkata, dia akan terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Siti sebelum membuat sebarang keputusan.
Sejak mula menyertai SRC selepas menjuarai Bintang HMI 1995, Siti, 47, itu sudah menghasilkan sebanyak 11 album studio dengan buah tangan terakhir, Prasasti Seni diterbitkan pada 2004.
Selepas kontrak bersama SRC tamat pada 2006, semua album pemilik vokal emas itu diterbitkan syarikatnya sendiri, Siti Nurhaliza Productions (SNP). – HIBGLAM