MEWARISI bakat ibu, pelakon Shahz Jaszle teruja menyingsing lengan menyediakan beberapa
jenis biskut raya sebagai hidangan kepada tetamu yang bertandang ke rumahnya.
Biarpun sepanjang Ramadan sibuk menguruskan gerai jualan di Putrajaya, pemilik nama
lengkap Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, 36, itu masih sempat masuk dapur.
Buku resipi
Baginya, kurang puas sekadar membeli kerana sudah biasa mengadun dan membakar aneka
biskut terutama tart nanas, coklat chip dan sarang semut sejak zaman bujang.
“Dahulu ketika mula-mula kahwin, isteri kagum sebab tak sangka saya pandai buat biskut yang
sedap. Mungkin minat yang buatkan saya bersungguh-sungguh.
“Ibu ada buku resipi biskut. Selain selalu tolong ibu, saya ikut resipi dalam bukunya.
Alhamdulillah, memang menjadi, sampai sekarang apa sahaja biskut saya mesti rujuk buku itu.
“Walaupun Ramadan lalu agak terhad sebab berniaga minyak wangi dan kurta di Anjung
Syawal Putrajaya, syukur saya dapat juga sediakan beberapa jenis biskut,” katanya kepada HibGlam.
Menurut pelakon drama Wanita Milik Kaiden, isterinya Hanis Husna Mohamad Nadzree
bertanggungjawab menyediakan juadah Syawal kerana masakannya lebih enak.
“Orang rumah saya pakar masak rendang. Ramai puji hidangan pagi Syawal yang disediakan
isteri. Memang bab masak lauk-pauk saya tak boleh lawan dia.
“Kiranya kami saling melengkapi. Jadi masa dia sibuk di dapur, saya ambil alih tugas menghias
rumah.
Walaupun raya sudah memasuki minggu kedua, saya suka susun atur perabot untuk
tampilkan suasana segar,” ujarnya.
Kenalkan anak
Bercerita lanjut sambutan Aidilfitri, Shahz mengakui kali ini lebih meriah apabila ahli
keluarganya bertambah dengan kehadiran anak ketiga, Aurora pada 15 Jun tahun lalu.
Kehadiran si kecil melengkapkan lagi hidupnya dan isteri yang sebelum ini dikurniakan dua
zuriat iaitu Alana Jasmeen, 10, dan Ayden Jasreen.
“Memang meriah sambutan Aidilfitri tahun ini kerana selepas tujuh tahun kami dikurniakan
cahaya mata ketiga.
“Hari raya adalah masa tepat untuk kenalkan Aurora kepada sanak-saudara. Amalan
bertandang ke rumah saudara-mara antara tradisi yang saya mahu anak-anak teruskan.
“Inilah keindahan Syawal, selepas sebulan puasa kita raikan hari kemenangan dengan
mengeratkan silaturahim,” kongsinya. – HIBGLAM