PENYAMPAI radio Syarifah Shahirah enggan mengambil pusing dengan tohmahan ramai yang mengecam tindakannya mendedahkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) milik anak perempuannya, Airra Zulkifli yang meraih satu A dalam media sosial baru-baru ini.
Menurutnya yang mesra disapa sebagai Shiera, tindakannya itu bukan untuk membuka aib sebaliknya mahu memberi semangat untuk anaknya dan calon SPM lain agar berusaha lebih keras pada masa akan datang.
“Sebenarnya keputusan satu A atau dua A memang level keluarga saya walau sudah berusaha macam mana pun. Salah satu yang dapat A pasti bahasa Inggeris.
Airra pun tak boleh dan tiada masa pun untuk murung serta saya juga tak suka nak drama-drama.
“Kalau netizen nak cakap saya memalukan anak atau apa pun, saya tak kisah dan pergi mati (dengan kecaman). Kalau hari ini murung, perbaiki diri dan jadi lebih baik,” katanya kepada HibGlam pada majlis rumah terbuka Sinar FM di sini, semalam.
Tak menjadi kudis
Tambah Shiera, semua komen netizen tidak menjadi kudis dalam hidupnya namun menegaskan selain ilmu, adab juga amat penting untuk menjadi individu lebih baik.
Memang ada orang cakap saya malukan dan kasihan anak, tetapi saya sudah biasa dengan perkara itu termasuk orang cakap saya bodoh dan artis tiada ilmu.
“Di sini, saya nak buktikan pada orang, kalau tiada ilmu pun kita boleh berjaya dan ada banyak cara lain termasuk adab.
“Kadang-kadang kalau terlampau bijak, banyak sangat pendapat dalam hidup pun nak jadi apa?
“Saya sentiasa sokong anak dan kalau dia kecewa sekarang, jangan sedih sebab perjalanan masih panjang. Dapatkan keputusan baik pula untuk diploma atau sarjana muda nanti,” ujarnya.
Tak halang anak pilih
Dalam masa sama, dia tidak menghalang anak-anaknya memilih aliran yang diminati untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi pendidikan.
“Saya ada minta Airra masuk Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tawarkan bidang muzik tetapi dia kata mahu belajar dari YouTube.
Jadi, terpulanglah. Asalkan tidak menyusahkan orang apabila sudah memasuki alam pekerjaan nanti termasuk pergi kerja awal dan beri manfaat pada orang lain,” jelasnya.
Terdahulu, Shiera tetap berbangga dengan pencapaian Airra yang meraih satu A dalam peperiksaan SPM 2024.
Namun, tindakannya berkongsi keputusan peperiksaan Airra mengundang pelbagai reaksi daripada netizen termasuk dikatakan memalukan anaknya. – HIBGLAM