SELEPAS lima bulan berjuang melawan kanser leher, suami kepada pelakon Kiah Propa, Mohamad Nazri Ismail, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.
Khabar duka itu dikongsikan Kiah atau nama sebenarnya Siti Rokhaida Abdul Khalil, 46, yang memaklumkan suaminya meninggal dunia di Institut Kanser Negara (IKN).
“Mohamad Nazri Ismail, suami saya, baharu sahaja meninggal dunia di IKN Putrajaya.
“Arwah akan dikebumikan di Saujana Utama, Sungai Buloh sebelum Zohor,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Allahyarham didiagnosis dengan kanser leher dan kalenjer air liur tahap empat tahun lalu dan selepas itu sel barah dikatakan merebak ke orga lain dengan pantas.
Kisah pasangan ini menjadi perhatian ramai selepas Kiah terbuka hati untuk bernikah kembali dengan bekas suaminya selepas lapan tahun bercerai.
Pernikahan mereka pada 16 November 2024 itu juga dilaksanakan kerana Kiah juga pengacara mahu menjaga Mohamad Nazri yang sakit.
Sebelum ini, Kiah dan Nazri pernah mendirikan rumah tangga pada 2011, namun berpisah selepas beberapa tahun bernikah.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan. – HIBGLAM