‘Solat oksigen saya, tanpa solat tak boleh bernyawa’

PELAKON Nora Danish mengakui bukan mudah kekal istiqamah, namun solat lima waktu menjadi nadi utama dalam perjuangannya sebagai hamba Allah.

Menurut Nora atau nama lengkapnya Nora Danish Mohd. Haniff, 43, dia menganggap solat sebagai oksigen, sesuatu yang wajib untuk terus hidup bukan sahaja secara fizikal, malah aspek rohani.

“Apa yang saya tekankan dalam proses ini adalah saya anggap solat itu seperti oksigen.

Di mana kita perlukan oksigen untuk hidup, tanpa solat kita memang tak boleh bernyawa.

“Selain itu, saya letak lebih pressure untuk mencari hidayah,” katanya menerusi satu perkongsian video dalam TikTok.

Pelakon filem Sayu Yang Syukur itu turut berpesan agar jangan sesekali berputus asa mencari hidayah kerana setiap tekanan bakal melahirkan kekuatan dalam diri.

“Saya percaya lebih banyak tekanan, kita akan lebih berkembang.

Jangan pernah berhenti mencari. Hidayah bukan milik mutlak kita tapi usaha perlu diteruskan,” ujarnya.

Perkongsian Nora menerima pujian netizen yang kagum dengan semangat dan perubahan pelakon itu sejak berhijrah.

“Dia memang cantik dari dulu tapi sekarang makin berseri sebab jaga hubungan dengan Allah. Semoga terus istiqamah,” komen seorang netizen.

Betul sangat, solat memang oksigen untuk hati. Tanpa solat, hidup rasa kosong,” tulis pengguna media sosial.

“Bukan senang nak kekal istiqamah tapi tengok Nora, nampak sangat dia betul-betul berusaha. Moga jadi inspirasi buat kita semua,” ujar netizen lain.

Sehingga kini, video yang dimuat naik telah meraih ribuan tanda suka dan perkongsian, membuktikan mesej Nora menyentuh hati ramai.

Terdahulu, ibu kepada dua anak itu semakin aktif berkongsi momen tenang dan penuh makna dalam media sosial sejak tampil dengan imej Muslimah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok