Sokong Palestin, Green Day laung solidariti di Coachella

TIDAK gentar melaungkan solidariti terhadap Palestin, kumpulan popular Green Day menjadikan festival muzik Coachella sebagai medan menzahirkan suara hati mengenai penderitaan kanak-kanak di Gaza.

Vokalis band punk rock legenda itu, Billie Joe Armstrong membawakan lagu Jesus of Suburbia dari album American Idiot yang digubah liriknya sebagai tanda mengingatkan dunia terhadap mesej kemanusiaan sejagat.

Daripada baris asal Runnin’ away from pain when you’ve been victimized, penyanyi berusia 53 tahun itu menyanyikan lirik: Runnin’ away from pain like the kids from Palestine, tales from another broken home.

Alunan penuh emosi itu dengan serta merta mencetuskan sorakan ribuan penonton yang merupakan penampilan pertama Green Day pada acara muzik tahunan tersebut.

Berlangsung di Empire Polo Club, Indio, California, kelantangan kumpulan asal Rodeo, California itu pada Sabtu lalu turut tular dalam media sosial dengan rata-rata netizen senada dengan mereka mengutuk penjarahan Israel di bumi Palestin.

Ini bukan kali pertama Green Day yang juga penerima Anugerah Grammy ‘bersuara’ mengenai isu sejagat kerana ketika beraksi di Corona Capital Festival, Mexico, trio terbabit turut menukar lirik lagu berkenaan.

Persembahan pada November 2024 itu menampilkan seni kata ‘From Palestine to the Middle East’ yang sepatutnya ‘From Anaheim to the Middle East’.

Bahkan mereka juga membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin sewaktu konsert di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Februari lalu apabila Billie mengangkat tinggi bendera Palestin yang diberikan peminat.

Berdasarkan jadual Coachella, Green Day bakal tampil buat kali kedua pada 19 April ini, sekali gus membuatkan penonton tertunggu-tunggu kejutan lain.

Green Day yang ditubuhkan pada tahun 1987 itu dianggotai beberapa ahli iaitu Billie, Mike Dirnt (bass), serta Tre Cool (dram).

Walaupun kumpulan tersebut berasal dari negara Barat, mereka sememangnya terkenal sebagai pemuzik yang tegar menunjukkan sokongan terhadap Palestin.

Malah, mereka juga pernah menulis lirik lagu Peacemaker yang dilancarkan pada tahun 2009 dengan memasukkan nama Gaza iaitu Call up the Gaza. –HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok