DIBERI nama Slam X Exists-Our Journey, konsert anjuran bersama SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records tersebut bukan sekadar penganjuran biasa.
Sebaliknya, seperti nama diberi, persembahan berkenaan adalah sebuah perjalanan panjang dua buah band legenda tanah air itu dalam mendepani sepak terajang memperkenalkan muzik, sekali gus membina reputasi sehingga berdekad lamanya.
Bakal dianjurkan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025, Slam X Exists-Our Journey adalah sebuah ‘penceritaan’ tentang perjuangan mereka.
Slam dan Exists sendiri mempunyai ‘pertalian’ sejak awal penubuhan.
Slam sendiri dibentuk oleh salah seorang daripada anggota Exists, Shah yang akhirnya menuai sukses bersama anggota
lain termasuk Lili, Man, Zamani dan Eddie.
Hubungan tersebut secara tidak memberi satu petunjuk bahawa ‘DNA’ muzik mereka ada silaturrahim sejati.

BERTEMPAT di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Slam dan Exists akan menghiburkan para pemuja muzik mereka Julai depan
Legenda
Sementara Exists lebih dua dekad bermuzik dengan beberapa anggota bersilih-ganti termasuk vokalis, bermula dengan Mamat, Ezad, kumpulan yang berasal daripada Johor Bahru itu masih diteruskan bersama-sama Ajai, Ujang, Along dan Musa.
“Judul Slam X Exists adalah sangat signifikan dengan penganjuran daripada Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture kerana apa yang kami ketengahkan menerusi konsert ini adalah perjalanan panjang Slam dan Exists dalam karier seni mereka.
Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi menjadi jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya mereka yang bermutu.
“Maka, perbincangan demi perbincangan dilakukan bersama Slam dan Exists kerana mereka tidak mahu memberi konsert yang sama tanpa konsep yang jelas.
Akhirnya kami mencapai kata putus bahawa ‘bercerita’ tentang perjalanan panjang mereka menerusi Slam X Exists-Our Journey,” ujar Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture.
Tentu sahaja apabila memilih tema Slam X Exists-Our Journey, selain konsep, hal yang dititikberatkan adalah seleksi lagu yang akan dipersembahkan.
Selain akan menyampaikan hit-hit mereka seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi (Slam) atau Julia, Langkah Seiringan, Jesnita (Exists), kedua-dua kumpulan ini akan menghiburkan peminat dengan pemilihan karya penuh nostalgia yang tidak akan mengecewakan.
Perjuangan
Bayangkan juga bagaimana jika pemilik suara merdu dan gemersik Ezad serta Zamani berpadu di atas pentas dengan diiringi barisan pemuzik hebat tanah air, pasti mengujakan!
Besar harapan kami Slam X Exists-Our Journey akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat.
“Sebab muzik bukan tentang perjuangan seorang tetapi melalui muzik dengan pelbagai latar belakang tetap bertujuan menyatukan kita semua,” ujar Shah Slam.
Harga tiket bermula RM168, RM268, RM368, RM388, RM448 dan RM3,000 boleh diperoleh menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists. – HIBGLAM