BARU berusia 20 tahun, penyanyi Bernadya sudah mampu mencipta fenomena luar biasa pada tahun lalu dengan lagu popularnya berjudul Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.
Kemasyhuran disusuli pencapaian hebat, penyanyi muda itu turut meraih trofi kategori Album Pop Terbaik semasa Anugerah Muzik Indonesia (AMI).
Seleksi galaunya sering menjadi perhatian ramai dan pendengar bahkan lantunan suaranya turut membuai emosi seolah-olah merasai apa yang dilalui Bernadya.
Pemilik nama lengkap Bernadya Ribka Jayakusuma itu bagaimanapun mengakui gelaran penyanyi galau sedikit menyukarkan dirinya dalam pengkaryaan akan datang.
Berat untuk saya kalau sering dikaitkan dengan lagu galau. Buat saya jadi sedikit terbeban.
“Kadang-kadang jadi tekanan adakah saya selalu harus menulis lagu sebegitu,” katanya kepada HibGlam.

SATU bulan diakui Bernadya sebagai lagu paling sedih yang dihasilkan ketika dia berada dalam fasa kecewa.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Lama-Lama itu memaklumkan setiap karya ditulis ada ‘perencah’ tersendiri untuk menjadi lebih dramatis.
Saya ‘over dramatic’, lagi pun menurut saya, kalau orang lain hendak menulis apa-apa karya, mahu tak mahu memang kena berlebihan.
“Kalau saya tanya kawan saya pun mereka akan tulis 90 peratus kisah peribadi dan 20 peratus lagi hanya ditokok tambah,” ujarnya.
Memiliki lebih dari 10 lagu, Bernadya tidak ragu-ragu untuk mendedahkan lagu Satu Bulan merupakan karya paling sedih yang pernah dihasilkan.
Perkara tersebut kerana Satu Bulan digarap sewaktu dia berada dalam fasa sedih selepas dikecewakan bekas teman lelakinya.
“Lagu paling sedih yang pernah saya cipta berjudul Satu Bulan. Yang lain pun peribadi tetapi karya tersebut sangat dekat dengan saya.
Mungkin lagu lain saya cipta dalam keadaan sudah baik tetapi Satu Bulan diilhamkan ketika saya berada di titik terendah.
“Ketika itu, saya baru sahaja putus cinta dan tulis apa yang saya rasakan,” jelasnya yang bakal mengadakan konsert jelajah Untungnya, Untungnya di Zepp KL pada 13 Julai depan.

SELESA menggayakan baju rona hitam setiap kali beraksi atas pentas, Bernadya berkata pemilihan warna itu ada kisahnya yang tersendiri.
Bukan hanya satu lokasi sebaliknya Bernadya juga bakal menghiburkan peminatnya di KDCA Hall, Kota Kinabalu pada 19 Julai.
Lambang warna hitam
Ditanya sekiranya bakal menggayakan pakaian berwarna hitam seperti konsert-konsertnya yang lepas, dia terus mengangguk kerana mahu meneruskan konsep album.
Ya, memang harus pakai pakaian hitam sebab ini penutupan konsert album Sialnya Hidup Harus Diteruskan.
“Konsep tersebut juga sudah dilakukan sepanjang jelajah Tur Berjalan. Sebab saya dah mulakan hitam jadi teruskan sahaja kali ini,” ujarnya.
Menjelas lanjut, anak kelahiran Surabaya, Indonesia itu mengakui rona gelap itu juga dipilih memandangkan bekas kekasihnya tidak menyukai warna gelap.
“Lagi satu sebab sesuai dengan lirik lagu Kata Ini Berlebihan iaitu ‘Baju hitamku tak pernah kusentuh lagi jak hari itu kau bilang warna gelap membosankan’.
Saya melakukan hal yang kontradiksi dengan apa yang bekas kekasih saya cakap. Saya pun suka hitam.
“Menurut saya, hitam itu kuat tetapi tidak terlalu tegas. Sesuai dengan semua dan boleh melambangkan apa-apa sahaja,” tutupnya. – HIBGLAM