BINTANG terkenal Erra Fazira mengakui sering menjadi mangsa keadaan setiap kali timbul gosip pelakon wanita mendirikan rumah tangga.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 51, dia sendiri tidak faham kenapa namanya sering dikaitkan dengan desas-desus sebegitu.
“Ternyata bukan saya yang berkahwin baru-baru ini seperti yang didakwa. Saya selalu jadi mangsa keadaan.
“Hari ini hari Rabu (semalam) dan saya masih ‘single’,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Rizman Ruzaini, di sini, semalam.
Bercerita mengenai sambutan Syawal, akui pelakon yang mendapat gelaran Primadona Filem Alaf Baharu itu, sangat meriah dan bermakna.
“Tahun ini saya sangat merasai ‘vibe’ raya. Sebelum ini hari raya saya biasa-biasa sahaja. Tidak seaktif tahun ini. Tahun ini saya banyak pergi ke majlis rumah terbuka dan berkunjung ke rumah sanak saudara,” kongsinya.
Diusik dengan soalan adalah disebabkan kehadiran ‘Mr E’ (Ezwan Zaini) membuatkan Syawal tahun ini lebih bermakna buatnya, bekas Ratu Cantik Malaysia World 1992 itu tersipu malu.
“Kehadiran Mr E, F, G, H, I Alhamdulillah memeriahkan,” katanya sambil ketawa.
Ditanya adakah tahun ini tahun terakhirnya beraya sebagai ibu tunggal, kata Erra dia tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran atau harapan.
“Kalau tahun ini tahun terakhir saya beraya sebagai ibu tunggal Alhamdulillah. Kalau tak pun saya teruskan kehidupan saya seperti biasa. Nak buat macam mana. Terima seadanya,” katanya. – HIBGLAM