‘Saya sudah penat, kemelut ini ibarat tiada kesudahan’

PELAKON popular, Nabila Huda menitiskan air mata saat berkongsi momen bertemu bapa tercinta, Datuk Amy Search baru-baru ini.

Menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil itu, sudah lama dia mengidamkan saat mencium tangan bapanya dan bermaafan sempena hari raya.

“Saya terlalu rindu papa. Sudah lama saya tidak berjumpa dengan dia. Ketika itu saya tak tahu pun papa ada di situ.

Alhamdulillah Allah temukan saya dengan papa. Akhirnya saya dapat bersalam raya dengan papa dan memohon maaf. Memang niat saya untuk bertemu dan beraya dengan dia tetapi masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri.

“Allah makbulkan doa saya untuk bertemu papa sebelum Syawal berakhir,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Telaga Suriram, semalam.

Ditanya apakah yang dibualkan bersama bapanya sewaktu pertemuan tersebut, kata Abil dia meluahkan betapa rindu dan sayangnya dia kepada bapanya.

Akui sudah penat diuji dengan kemelut keluarga, Abil hanya menyerahkan pada takdir untuk menentukan segala-galanya.

Hanya yang tahu sahaja tahu apa yang berlaku. Jika tanya sama ada saya mahu pulihkan keadaan, saya sudah penat. Tak apalah saya akan lalui apa sahaja yang akan hadir depan mata saya. Kisah ini ibarat tiada kesudahan. Akhirnya tetap sama.

“Tetapi saya sentiasa doakan agar papa sentiasa bahagia dan panjang umur. Saya tahu dia pun doakan saya setiap hari,” kongsinya.

Terdahulu, Abil mencuri perhatian ramai selepas dia berkongsi video bertemu dengan bapanya setelah sekian lama ketika menghadiri sebuah acara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok