‘Saya okey, bongkok sebab nak kurangkan rasa sakit’

“SAYA okey sahaja.”

Demikian respons penyanyi, Zamani, 54, menafikan tulang belakangnya kembali bengkok seperti yang tular dalam sebuah video TikTok baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan tersebut mungkin tercetus kerana ketika ini terpaksa berjalan dalam keadaan membongkok bagi mengurangkan rasa sakit pada bahagian tulang belakang ditambah pula dengan kesibukan jadual kerja.

“Doktor beritahu masalah tulang belakang membengkok tidak akan berulang tetapi kalau berlaku lagi, mungkin dalam tempoh lama.

Mungkin juga sebab terlalu aktif bekerja, tulang belakang mula rasa sakit semula dan bongkokkan badan untuk bantu kurangkan rasa sakit.

“Namun, kepada peminat, jangan risau sebab tahap kesihatan saya baik-baik sahaja,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Slam X Exists Our Journey, baru-baru ini.

Tambah vokalis kumpulan Slam itu, struktur tubuhnya tidak boleh kembali normal sepenuhnya tetapi beransur pulih selepas menjalani beberapa rawatan termasuk pembedahan dan perlu mengambil ubat tahan sakit sebelum mengadakan persembahan.

Meski berdepan dengan masalah badan bongkok, dia bagaimanapun bersyukur masih mampu dan diberi kesempatan oleh Tuhan untuk membuat persembahan dalam durasi lebih panjang berbanding sebelum ini.

“Memang menghadapi masalah membongkok. Rawatan yang saya lakukan sebelum ini hanya untuk membetulkan tulang belakang, masalah bongkok memang tak boleh buat apa.

Buat masa sekarang saya sudah syukur cuma peminat janganlah mengharapkan saya mampu kembali normal 100 peratus seperti dulu.

“Tapi saya tetap gembira sebab boleh menyanyi selama dua jam tanpa ada sebarang masalah pada sebuah konsert baru-baru ini. Sebelum ini nyanyi dua atau tiga lagu, saya perlu berhenti sebab masalah kesihatan,” katanya yang mengadakan konsert bersama Exists yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai depan.

Terdahulu, Zamani menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, Kuala Lumpur pada 7 November 2022.

Susulan itu, dia mula memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada proses pemulihan kesihatannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok