RM45.7 juta 11 hari tayangan, Blood Brothers dijangka pintas Sheriff

FILEM aksi Blood Brothers: Bara Naga terus melakar pencapaian menakjubkan apabila meraih kutipan pecah panggung RM45.7 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.

Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu membuktikan penerimaan hangat penonton terhadap naskhah tempatan yang berkualiti tinggi bahkan tercatat sebagai antara paling laris dalam sejarah industri perfileman Malaysia.

Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif bersama filem berkenaan, Datuk Yusof Haslam menjangkakan kutipan Blood Brothers bakal mengatasi filem Sheriff: Narko Integriti.

Insya-Allah, kita mungkin boleh raih lebih daripada kutipan filem Sherrif dalam tempoh sebulan sekiranya respons luar biasa penonton sekarang kekal sehingga akhir,” katanya.

Kejayaan luar biasa filem yang turut membariskan pelakon hebat Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su dan Amelia Henderson kini meletakkanya dalam senarai Top 5 filem tempatan terlaris sepanjang zaman.

Filem Blood Brothers berada di kedudukan kelima dalam senarai lima filem tempatan dengan kutipan tertinggi Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta), Sheriff: Narko Integriti (RM63.2 juta), Polis Evo 3 (RM54.1 juta), dan Munafik 2 (RM48 juta).

Terdahulu, Blood Brothers berjaya menambat hati para penonton sejak ditayangkan di semua pawagam tanah air pada 10 April 2025.

Menelan kos sebanyak RM7 juta, filem itu kini ditayangkan di 170 pawagam seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok