SUSULAN dakwaan bekas pengurus menyeleweng wang, kumpulan Floor 88 mengakui perkara tersebut memberi kesan terhadap kesihatan mental memandangkan hubungan mereka sangat akrab.
Selain isu tersebut, vokalisnya Ayie Elham turut memaklumkan periuk nasi mereka terkesan kerana semakin kurang menerima tawaran nyanyian di mana-mana acara.
“Secara peribadinya, mental saya terganggu sebab saya dengan dia pun rapat. Bila dia berkelakuan macam ini kita rasa sedih.
Bukan itu sahaja, kami semua ada komitmen, tambahan pula antara kami ada yang sudah berkeluarga termasuk saya. Jadi, sebagai rakan kami sangat terkilan.
“Kami juga sudah lama tiada tawaran persembahan yang kini boleh dikira pakai satu tangan sahaja sejak isu itu berlaku. Jadi macam mana kami nak bagi anak dan isteri makan,” katanya kepada HibGlam di Rumah Terbuka Ritma Riang Raya 2025 Rusa MVM Music, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Ayie atau Nik Fadlee Elhamshah, 27, turut berharap individu terbabit tampil bertanggungjawab atas penipuan yang dilakukan.
“Saya mengharapkan dia datang berjumpa dengan kami berenam ataupun pihak syarikat rakaman sekali dan selesaikan masalah tersebut. Pihak Rusa Music juga pesan untuk berhenti kongsi gambar dia atas nasihat peguam.
Kami masih mahu beri peluang. Jika dia datang dan berhubung dengan kami pun akan ada proses yang perlu dia lalui tetapi setakat ini dia hanya berani berhubung dengan Eric sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, pemain keyboardnya iaitu Eric Fuzi memaklumkan kumpulan mereka hampir disaman penganjur acara kerana tidak hadir ke acara dijanjikan.
Hal ini kerana, bekas pengurusnya itu berpura-pura menguruskan kerjaya Floor 88 dengan mengambil wang cagaran dan menghilangkan diri.
“Sekarang, dia masih lagi menggunakan nama kami untuk terima tawaran persembahan. Itu yang kami rasa perlu buat kenyataan sebab kita tidak tahu dia berurusan dengan siapa.
Kalau penganjur itu tidak tahu, dia ingat kita yang ambil duit tersebut sedangkan mereka berurusan dengan bekas pengurus kami. Ada beberapa pihak yang hampir saman kami sebab tidak hadir ke acara tersebut.
“Kami amat berterima kasih kepada penganjur tersebut kerana maklumkan perkara ini kepada kami. Kalau tidak kami pun tidak tahu perkara sebenar,” jelasnya.
Dalam masa sama, Eric memaklumkan pihak Floor 88 sudah cuba menyelesaikan masalah dengan individu dimaksudkan selepas kegiatannya terbongkar buat kali pertama.
Sebelum ini, Rusa Music memuat naik hantaran memaklumkan bekas pengurus Floor 88 sudah tidak lagi berkhidmat untuk kumpulan itu. – HIBGLAM