HUBUNGAN cinta antara jelitawan, Aishwarya Rai dan Salman Khan pernah menggegarkan industri perfileman Bollywood 20 tahun lalu.
Mereka sentiasa mendapat perhatian media dan peminat. Malah, dua bintang hebat itu sempat berlakon bersama dalam sebuah filem iaitu Hum Dil De Chuke Sanam yang mencetus fenomena.
Namun, hubungan cinta Aishwarya dan Salman tidak pernah aman. Aishwarya dikatakan sering menjadi mangsa cemburu melampau sehingga menyebabkan dirinya berdepan serangan fizikal.
Ada satu ketika dia menghadiri sebuah acara anugerah memakai cermin mata gelap kerana dikatakan cuba menyembunyikan kesan lebam di wajahnya akibat keganasan Salman.
Sikap panas baran Salman dan cemburu butanya akhirnya menjejaskan karier lakonan Aishwarya.
Selepas kejayaan filem Devdas bersama Shah Rukh Khan (SRK), Aishwarya disunting untuk membintangi filem Chalte Chalte bersama aktor itu.
Namun, sewaktu di pertengahan penggambaran, Salman sering membuat ‘kacau’ di set sehingga menyebabkan SRK yang juga penerbit filem tersebut berang dan akhirnya membuat keputusan menggantikan posisi Aishwarya dengan Rani Mukerji.
Aishwarya akhirnya membuat keputusan untuk berpisah dengan Salman dan situasi tersebut membuatkan lelaki itu bertambah berang.
Bermula detik itu, kerjaya Aishwarya dikatakan semakin suram kerana penerbit takut untuk mengambilnya berlakon disebabkan khuatir Salman akan membuat kekacauan di set penggambaran.
Dia dalam satu wawancara selepas berpisah dengan Salman mendedahkan sikap sebenar aktor itu.
“Saya telah berpisah dengan Salman beberapa bulan lalu, tetapi dia tidak dapat terima kenyataan hubungan kami telah berakhir. Dia akan menghubungi saya setiap hari dan memaki hamun saya.
“Dia juga menuduh saya curang dengan hero gandingan saya termasuklah Abhishek dan Shah Rukh. Dia juga pernah memukul saya, tetapi saya akan pergi kerja seperti tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Pengaruh Salman
Pengaruh Salman pada ketika itu sangat besar dan dia dikatakan telah mempengaruhi ramai penerbit untuk tidak mengambil Aishwarya terlibat dalam beberapa filem.
Selain filem Chalte Chalte, nama Aishwarya juga dikatakan digugurkan daripada membintangi dua lagi filem box office iaitu Main Hoon Na dan Veer-Zaara.
Posisinya dalam Veer-Zaara digantikan sekali lagi oleh Rani Mukerji.
“Mungkin Aishwarya yang ada masalah dengan saya kerana dia sudah berhenti daripada menelefon saya. Saya pun sudah tidak bertemu dengannya lagi di mana-mana acara,” katanya.
Hanya sekitar 2006, Aishwarya kembali meletakkan dirinya sebagai ratu filem Bollywood selepas membintangi filem box office, Dhoom 2 di samping aktor kacak, Hrithik Roshan.
Sewaktu membintangi karya tersebut, dia dan Abhishek berkahwin, namun wujud suara-suara sumbang mengatakan dia berbuat demikian kerana ingin membalas dendam terhadap Rani yang pernah digosipkan bercinta dengan suaminya itu.