PELAKON Bell Ngasri tidak mengetahui punca kurang menerima tawaran menerajui naskhah air mata selepas dinobatkan Anugerah Bintang Paling Popular ke-35 lalu.
Tidak kecewa apatah lagi berasa terkilan, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri, 45, tetap berlapang dada dengan setiap bentuk rezeki yang diterimanya ketika ini.
“Memang agak kurang tawaran lakonan tapi tidaklah terlalu beza sangat. Sejujurnya memang ada perasaan risau orang takut panggil saya selepas menang.
“Tapi Alhamdulillah saya masih bekerja untuk beberapa program. Mungkin hanya tawaran berlakon yang agak kurang.
“Mungkin juga tidak banyak jenis cerita yang pengarah nak buat atau sebagainya. Saya pun tak tahu (punca) tapi serahkan semua pada rezeki,” katanya kepada HibGlam selepas tayangan gala filem 6 Jilake, semalam.
Dalam pada itu, meski tawaran lakonan semakin menyusut, dia tetap dihujani dengan pelbagai peluang kerja lain termasuk pengacaraan dan kerja belakang tabir.
Tapi semua kena faham, saya ada banyak juga kerja-kerja lain, bukan berlakon semata-mata.
“Alhamdulillah saya okey sahaja. Nak panggil silakan, kalau tak nak sudah.
Saya tidaklah kecewa, sikit-sikit pun saya bersyukur sebab masa menang pun bukannya hero yang berlambak dengan dengan drama atau filem.
“Namun, saya tidak mahu ada rasa kekurangan atau sebagainya dan tetap bersyukur. Terima kasih juga kepada mereka yang terus menghargai hasil kerja saya,” jelasnya.
Sebelum ini, Bell pernah mendedahkan dia kurang mendapat tawaran lakonan tahun lalu namun enggan menjadikan kemenangannya pada ABP35 sebagai punca. – HIBGLAM