PENYANYI Misha Omar mengakui pernah terfikir untuk berhenti daripada kerjaya nyanyian yang dibina lebih dua dekad lalu demi tuntutan kerja suami tercinta.
Menurut Misha atau nama sebenarnya Samihah@Aisah Omar, 43, perkara tersebut diluahkan kerana pernah terfikir mahu mengikut suaminya, Firos Ezwan Rosli yang juga seorang juruterbang untuk berhijrah sekiranya mendapat tawaran kerja di luar negara.
“Sebenarnya hasrat untuk bersara sebagai penyanyi pernah ada. Beberapa tahun lalu saya memamg hampir nak ‘pencen’ dari dunia nyanyian kerana suami mahu berhijrah selepas mendapat tawaran kerja di luar negara.
“Kalau jadi kenyataan, memang perlu melepaskan kerjaya nyanyian sebab saya tak mahu biarkan suami terkontang-kanting seorang diri. Siapa tak sayang suami sendiri,” katanya ditemui pada majlis Raya Bersama Sony Music Malaysia, semalam.
Dia bagaimanapun memaklumkan perkara tersebut tidak direalisasikan apabila suaminya melepaskan tawaran kerja tersebut.
“Alhamdulillah saya masih di sini dan Tuhan belum mengizinkan untuk saya pencen.
“Selepas memikirkan mengenai persekolahan anak-anak dan kebetulan anak sulung kami, Adam bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), suami akhirnya menolak tawaran itu,” ujarnya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Semoga Abadi itu berharap sekiranya hasrat bersara tersebut menjadi realiti, dia mahu semuanya berlaku dalam keadaan tenang tanpa sebarang paksaan.
“Saya selalu berserah pada Tuhan untuk semua perkara. Kalau nak bersara pun, biarlah dalam keadaan tenang sahaja.
“Namun, tak mungkinlah sampai tahap nak buat pengumuan rasmi. Saya pula memang seorang yang kalau nak buat sesuatu keputusan, akan fikir habis-habisan.
“Saya juga akan terus bertanya dan bertanya dengan kawan-kawan untuk dapatkan kepastian mengenai keputusan yang dibuat itu,” jelasnya.
Terdahulu, Misha mendirikan rumah tangga dengan Firros pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa.
Selain itu, Misha juga memiliki seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir.– HIBGLAM