Lambat ‘panas’, Qasrina Karim tak tergamak mencipta onar

DIKATAKAN lambat ‘panas’, pelakon Qasrina Karim mendedahkan ada pihak yang pernah menyarankannya muncul dengan kisah kontroversi agar nama menjadi bualan.

Pada hemat sesetengah pihak, pendekatan sedemikian mampu melonjakkan populariti seseorang selebriti tanpa perlu berusaha keras atau muncul dengan hasil kerja cemerlang.

Jaga air muka

Begitupun, Qasrina atau nama lengkapnya Qasrina Abd. Karim, 29, enggan terpengaruh dengan percikan glamor seketika sehingga sanggup mencalarkan nama baik keluarga atau menjejaskan kredibiliti sendiri.

“Tidak mengapa perlu bertatih demi  mengukuhkan nama dalam industri seni asalkan tidak menjejaskan air muka ibu bapa dengan gosip liar yang lebih banyak negatif berbanding impak positif.

“Memang enam tahun saya membina kerjaya secara perlahan-lahan biarpun sampai ada pihak mencadangkan saya cipta kontroversi supaya lebih cepat dikenali.

“Sudah tentu saya tolak, biarlah lambat ‘panas’, saya percaya kemasyhuran datang menerusi hasil kerja. Kesabaran berbaloi sejak dua tahun kebelakangan ini apabila satu persatu naskhah lakonan saya meraih perhatian,” katanya usai majlis memperkenalkan barisan pelakon drama bersiri Thariq Ridzuwan: His Treasure di Metrowealth Pictures, baru-baru ini.

ENAM tahun dalam industri, Qasrina mengakui tempoh tersebut tidak mudah. – FIRDAUS JOHARI

Menerusi drama bersiri 16 episod adaptasi novel tersebut, pelakon berusia 29 tahun itu membawakan watak Husniya Radwa iaitu isteri kepada anggota Special Force, Thariq Ridzuwan.

Wanita depresi

Dalam naskhah arahan Eyra Rahman itu, Husniya digambarkan sebagai isteri yang mengalami depresi selain melayan suaminya dengan kasar.

Akui pelakon bertubuh kecil molek itu, cabaran membawakan peranan wanita yang mengalami gangguan perasaan sangat mencabar.

Dia bagaimanapun berasa bertuah apabila naskhah yang bakal disiarkan Astro sekitar Julai depan tersebut bakal memaparkan sisi berbezanya.

“Selama ini saya banyak pegang watak putih, wanita baik-baik tetapi kali ini saya jadi isteri paling kurang ajar terhadap suami sendiri.

“Ini kali pertama saya bekerja dengan Meerqeen tetapi keserasian memang ada selepas sesi bacaan skrip dan kisahnya juga sarat konflik.

“Cukup mencabar apatah lagi ada suara yang menganggap saya tidak sesuai bawa karakter itu sebab bertubuh kecil. Tapi saya akan buktikan kemampuan,” ujarnya.

Menurut pelakon asal Subang Jaya itu, persediaan rapi sudah dilakukan sebelum penggambaran bermula 10 April lalu.

“Ikutkan penggambaran bakal memakan masa hampir dua bulan, namun yang pasti saya dan pelakon lain sudah bersedia untuk bermain dengan emosi.

Selain Qasrina dan Meerqeen, karya yang memaparkan elemen cinta dan aksi tersebut turut membariskan lakonan Noki K-Clique, Afiq Hamidon, Avertts Gomes, Arash Mohamad, Mia Sara Shauki, Jay Iskandar dan Azri Safix. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok