KALAU sudah namanya Elly Mazlein, memang setiap video dikongsikan membuatkan peminat terhibur dan tidak kering gusi.
Baru-baru ini pelakon, penyanyi, hos dan penyampai radio yang sinonim dengan panggilan Kak Lina Pom Pom itu membuka rahsia perkenalannya dengan suami, Mohamad Azlan Che Nuh.
Rupa-rupanya, mereka ‘dikenenkan’ kawan ketika sama-sama hadir ke sebuah kenduri akikah anak rakan.
Kalau tengok Elly bercerita momen terpandang Mohamad Azlan memang boleh tersembur biskut tart nanas dalam mulut.
Bersungguh-sungguh betul dia bercerita detik bersejarah itu dalam video dikongsikan dalam TikTok, manakala suaminya hanya tersenyum di sebelahnya.
Sudah jodoh, bermula dengan sesi berbalas tenungan kini sudah lima tahun mereka bergelar suami isteri.
Walaupun berbeza karakter, sejuk tengok pasangan ini sebab masing-masing saling melengkapi. Tak gitu?