‘Kasih sayang takkan macam dulu, biar mahkamah putuskan’

MEMPERTIMBANGKAN  permintaan isteri untuk berpisah, pelakon Edika Yusof mengakui perlu mendapatkan bantuan mahkamah untuk ke sesi kaunseling dan nasihat pakar sebelum bercerai.

Katanya, penyakit meningitis yang mengakibatkan isteri, Nor Hidayah Yusri, 47, lumpuh separuh badan turut mengganggu mentalnya sehingga tidak boleh melafazkan talak hari ini.

“Saya nak gembirakannya. Kalau orang dah minta cerai, kita tak nak teruskan, buang masa juga. Kasih sayang takkan macam dahulu, kita serahkan kepada mahkamah untuk keputusan cuma bukan hari ini.

“Kalau dia tak okey, kita memang nak bagi apa yang dia nak. Tapi apabila membabitkan mental, kita serahkan pada pakar. Saya mahu minta kerjasama mahkamah dengan doktor pakar, kaunseling sebelum putuskan apa masalah kita.

“Mungkin ada silap saya, saya pun tak salahkan sesiapa. Saya selalu minta berbincang tapi dia yang tak nak,” katanya ketika ditemui HibGlam di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir pada pukul 10 pagi iaitu 20 minit selepas ketibaan isterinya yang ditemani anak sulung mereka, Edika, 58, turut mendakwa sudah sebulan melambatkan permintaan Nor Hidayah.

“Saya sudah cuba untuk berbincang. Tapi kadangkala cerai bukan di tangan lelaki, wanita yang minta. Cuma apa-apa jadi jangan diamkan diri, kena bincang. Saya nampak ada perubahan.

“Walaupun dia keluar rumah pada hari itu, saya bantu lagi. Harap masing-masing boleh muhasabah diri. Kalau nekad nak berpisah kita boleh berpisah, jadi kawan demi anak-anak.

“Dalam Islam pun digalakkan bersilaturahim. Pada saya tak salah kita perjuangkan walaupun jodoh, maut dan kehidupan ditentukan Allah,” ujarnya.

Menurut pelakon filem Mariana itu, anak-anak mereka sebenarnya tidak mahu perceraian berlaku .

Anak pun tak setuju, kena rela. Saya reda demi anak dan demi kenangan kami selama 22 tahun berkahwin,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Nor Hidayah memfailkan perceraian terhadap Edika di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2003 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, manakala Hidayah memiliki seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok