KE mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”
Itu pepatah paling tepat bagi menggambarkan pencapaian aktor terkenal Bollywood, Hrithik Roshan yang bakal mengikut jejak langkah bapanya duduk di kerusi pengarah.
Hrithik dikhabarkan bakal mengarahkan filem Krrish 4 selain tamil selaku bintang utama naskhah tersebut.
Hrithik dalam satu wawancara berkata, dia sangat gementar menggalas tanggungjawab besar itu.
Anda tidak tahu betapa gementarnya saya untuk duduk di kerusi pengarah buat kali pertama. Apa yang saya perlukan sekarang adalah sokongan serta semangat daripada semua peminat,” katanya.
Sementara itu, Rakesh Roshan yang mengarahkan tiga francais filem tersebut berkata, sudah tiba masanya dia menyerahkan tanggungjawab sebagai pengarah kepada putera kesayangannya.
“Saya menyerahkan baton pengarah Krrish 4 kepada anak saya, Hrithik Roshan yang telah lama hidup, berkembang dan bernafas dalam francais filem ini sejak pertama kali diterbitkan.
“Hrithik bercita-cita tinggi dan mempunyai visi yang jelas untuk membawa francais Krrish ke aras lebih tinggi untuk dekad seterusnya.
Saya sangat bangga dan teruja melihat dia duduk di kerusi pengarah karya yang menjadi kebanggaan kami sekeluarga,” ujarnya.
Biarpun ini kali pertama Hrithik bakal menggalas amanah itu, sebelum ini dia sudah ada pengalaman sebagai penolong pengarah untuk filem Karan Arjun dan Koyla arahan serta terbitan bapanya sebelum terjun ke dunia lakonan.
Francais Krrish bermula pada 2003 menerusi filem Koi Mil Gaya di mana ketika itu Hrithik bergandingan bersama Preity Zinta.
Kemudian pada 2006 filem Krrish ditayangkan di mana ketika itu Priyanka Chopra menjadi heroin di sisi Hrithik.
Pada 2013 pula, filem Krrish 3 diterbitkan menampilkan Hrithik, Priyanka dan Kangana Ranaut sebagai watak utama.
Untuk Krrish 4, Preity Zinta dikhabarkan bakal kembali selain diserikan dengan kehadiran bintang seksi Nora Fatehi.
Naskhah adiwira kebanggaan Bollywood itu diterbitkan rumah produksi mega, Yash Raj Films dimana Aditya Chopra turut bertindak sebagai penerbit bersama.
Kepakaran dimiliki oleh Yash Raj Films dijangka akan membuatkan Krrish 4 setanding dengan karya Hollywood dan bakal digemari pencinta filem seluruh dunia.
Ramai peminat sudah mula meluahkan rasa teruja dan tidak sabar menonton karya sentuhan pertama Hrithik sebagai pelakon dan pengarah.
Krrish 4 dijangka menggegarkan pawagam pada 2026.