PELAKON Rita Rudaini mempertikai sikap segelintir golongan lelaki yang liat membayar wang nafkah selepas bercerai.
Menurut Rita, 49, perkara tersebut selalunya dilihat sebagai situasi biasa terutama selepas lelaki berkenaan mendirikan rumah tangga sekali lagi.
“Kenapa lelaki (kebanyakan), kalau bercerai susah, liat dan tidak mahu beri nafkah.
“Tambah-tambah yang sudah berkahwin baharu dan kahwin pula dengan penyondol, tapi kebanyakanlah,” katanya dalam platform Threads.
Tambah bintang fillem Mami Jarum itu, lelaki yang bernikah dengan golongan perampas selalunya akan memiliki sifat sebegitu.
“Yang nikah dengan penyondol ini akan jadi ekstra perangai hodoh.
“Sehodoh muka dan senajis hati bini penyondolnya, betul ke?” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga berpendapat golongan wanita yang sudah terlalu lama menyimpan rasa sedih tentang rumah tangga mampu meluahkan segala yang dilaluinya bila-bila sahaja.
“Sebab itu jangan bagi orang perempuan meroyan.
“Kalau sudah meroyan, semua benda yang dia telan akan dimuntahkan. Faham tak?
“Tahu takut. Dunia khayalan, dunia impian,” ujarnya.
Sebelum ini, Rita antara selebriti wanita yang lantang bersuara mengenai isu nafkah dalam media sosial.
Aktres itu sebelum ini pernah berkahwin dengan pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 2013.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang menjadi tunjang kekuatan Rita. – HIBGLAM